Siklon Amphan badai Bangladesh, India

KHULNA, BANGLADESH, 20 MEI – Berjuta-juta penduduk bersiap sedia hari ini tatkala siklon paling kuat dalam beberapa dekad membadai Bangladesh dan timur India, membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan meninggalkan kesan kemusnahan yang besar.

Pihak berkuasa bergegas untuk memindahkan lebih tiga juta penduduk dari kawasan rendah, namun tugas tersebut dirumitkan dengan keperluan berjaga-jaga untuk mengelak penularan koronavirus.

Tatkala ia mendarat, Siklon Amphan memusnahkan rumah lumpur di kampung tepi pantai, menerbangkan atap bumbung, menumbang pokok dan membanjiri ladang tanaman.

Di Bangladesh, pegawai mengesahkan tiga kematian termasuk seorang budak lelaki berusia lima tahun dan seorang warga emas berusia 75 tahun, kedua-duanya dihempap pokok yang tumbang, dan anggota sukarelawan kecemasan siklon yang mati lemas.

Dua kematian lain dilaporkan oleh media India, termasuk seorang anak damit yang terhimpit apabila dinding lumpur pondok keluarganya roboh dalam hujan lebat di negeri Odisha.

Rumah-rumah ‘kelihatan seolah-olah telah digelek oleh jentolak,” kata Babul Mondal, 35, seorang penduduk kampung di pinggir hutan paya bakau Sundarbans, tempat tinggal kepada populasi harimau terbesar di India.

Amphan adalah ‘siklon besar’ pertama yang terbentuk di Teluk Bengal sejak 1999, dan membawa angin dengan kelajuan sehingga 186 kilometer sejam.

Ahli kaji cuaca juga mengingatkan mungkin berlakunya ombak besar setinggi beberapa meter.

Limpahan air sedemikian boleh menjejaskan beberapa kilometer ke kawasan pedalaman dan merupakan pembunuh utama dalam sistem cuaca. – AFP

Sebuah kereta melalui pokok tumbang di sepanjang jalan sebelum siklon Amphan mendarat di Digha, Bengal Barat kelmarin. – AFP