AHMEDABAD, INDIA, 17 MEI – Satu siklon membawa angin kencang dan mengancam kemusnahan ke atas India hari ini, menjejaskan usaha negara itu mengekang penularan wabak COVID-19.
Sekurang-kurangnya enam orang maut pada hujung minggu akibat hujan lebat dan angin kencang ketika Siklon Tauktae yang menurut laporan media, terbesar pernah melanda barat India dalam masa 30 tahun, menghentam Lautan Arab dan kini menghala ke negeri Gujarat.
Siklon besar dijangka melanda hari ini jam 8-11 malam waktu tempatan, membawa angin selaju 155-165kmsj dan boleh mencecah sehingga 185kmsj, kata Jabatan Meteorolgi India.
Ia memberi amaran taufan itu boleh membawa hujan sehingga 10 kaki di beberap daerah pesisir pantai Gujarat.
Siklon besar kelihatan dari ruang angkasa memburukkan lagi respons India terhadap peningkatan koronavirus yang meragut kira-kira 4,000 nyawa setiap hari dan mengakibatkan hospital terbeban.

Di bandar Mumbai yang dibanjiri air dan dilanda angin kencang, pihak berkuasa terpaksa menutup lapangan terbang selama beberapa jam dan menggesa orang ramai kekal di rumah, ketika pihak hospital memindahkan 580 pesakit COVID-19 ke lokasi lebih selamat dari tiga buah hospital lapangan.
Sekitar 150,000 orang dipindahkan di negeri jiran Gujarat di mana semua pesakit COVID-19 dalam jarak lima kilometer dari pesisir pantai juga dipindahkan.
Pihak berkuasa juga bergegas memastikan bekalan kuasa tidak terputus dalam hampir 400 hospital untuk pesakit COVID-19 dan 41 kilang oksigen di 12 daerah pesisir di mana siklon dijangka paling teruk melanda.
Ketua Menteri Vijay Rupani memberitahu wartawan bahawa lebih 1,000 hospital COVID-19 di bandar pesisir disediakan dengan penjana kuasa dan sokongan kuasa, dan 744 lagi pasukan kesihatan dikerahkan dengan 174 ICU bergerak dan 600 ambulans.
“Selain keperluan harian sebanyak 1,000 tan oksigen di Gujarat, satu stok tambahan 1,700 tan juga telah diperolehi dan boleh digunakan jika berlaku kecemasan,” kata Rupani. – AFP