Sunday, December 15, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siklon dahsyat landa AS

    NEW YORK, 5 Jan – Siklon dahsyat melanda Pantai Timur Amerika Syarikat semalam dengan cuaca sejuk dan salji lebat, memaksa pembatalan beribu-ribu penerbangan dan penutupan sekolah, malah mendorong Senat AS membatalkan undi untuk sepanjang minggu.

    Berjuta-juta warga Amerika menghadapi bekalan elektrik terputus dalam suhu yang sangat sejuk, di mana 45,000 penduduk di Virginia dan beribu-ribu lagi di Georgia, Carolina Selatan dan Florida terjejas.

    Kelegaan dalam bentuk suhu lebih panas tidak dijangka sehingga minggu depan, menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional, dan salji hanya dijangka berkurangan pada lewat hari ini apabila ribut bergerak ke timur laut ke Kanada.

    Florida, lebih dikenali sebagai ‘Negeri Sinaran Matahari’ disebabkan oleh pokok palma, pantai dan cuaca nyaman, melihat salji pertamanya dalam hampir tiga dekad di kawasan utara negeri.

    Jalan raya ditutup di utara Florida dan tenggara Georgia, di mana gabenor Nathan Deal mengisytiharkan keadaan darurat di kawasan pantai.

    Sebuah kenderaan SUV yang terkandas dalam banjir akibat ribut musim sejuk yang melanda rantau itu pada 4 Januari 2018 di Marshfield, Massachusetts. Siklon dahsyat melanda Pantai Timur AS semalam dengan cuaca sejuk dan salji lebat, memaksa pembatalan beribu-ribu penerbangan dan penutupan sekolah. – AFP

    Gabenor Florida Rick Scott menyeru penduduk di sana supaya “bersedia untuk menghadapi cuaca amat sejuk, termasuk salji, hujan beku atau timbunan ais.”

    Dengan salji sedalam satu kaki dijangka di New York, diiringi oleh angin kencang, sekolah akan ditutup. Salji sedalam lebih satu kaki dijangka berlaku di Boston.

    Datuk bandar Bill de Blasio menyeru penduduk New York supaya mengelak daripada menggunakan jalan raya dan memandang ‘amat serius’ siklon berkenaan.

    Siklon itu mungkin membawa ‘keadaan amat berbahaya,’ beliau mengingatkan pada Rabu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda