Siklon Eloise ranap ribuan rumah

MAPUTO, 25 JAN – Siklon tropika yang melanda tengah Mozambique pada hujung minggu ini telah menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan mengakibatkan banjir teruk di kawasan sama yang terjejas oleh dua siklon pada 2019, kata pasukan respons dan agensi bantuan.

Siklon Eloise mendarat pada awal pagi Sabtu, membawa angin kencang disusuli hujan lebat di bandar pelabuhan Beira, ibu negara wilayah Sofala, Mozambique, dan daerah Buzi.

Hampir 7,000 penduduk telah kehilangan tempat tinggal dan lebih 5,000 rumah dimusnahkan atau rosak di kawasan itu, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) hari ini, memetik angka awal kerajaan.

Pasukan respons kecemasan negara semalam mengesahkan enam kematian dan 12 kecederaan serius – jumlah yang dijangka meningkat apabila skala kerosakan dinilai sepenuhnya dalam beberapa hari ini.

“Banyak tempat telah pun dibanjiri dan keadaan menjadi semakin teruk,” kata jurucakap Unicef Mozambique Daniel Timme, bercakap kepada AFP dari Beira.

“Sungai mengumpul air dan menyalirkannya semula ke lembangan Sungai Buzi di selatan Beira, katanya.

Timme berkata siklon telah menjejas kawasan miskin di bandar, di mana rumah dibuat daripada kain tarpaulin dan atap zink diterbangkan oleh angin.

Ratusan lagi telah mendapatkan perlindungan di sekolah dan memerlukan bantuan makanan, ubat dan tempat berteduh, tambah beliau.

Kira-kira 142,000 hektar tanah ladang telah dibanjiri, menurut angka awal Unicef, serta 26 pusat kesihatan dan 76 bilik darjah mengalami kerosakan.

Eloise telah menjadi lemah sejak mendarat di Mozambique dan sedang bergerak menuju ke Afrika Selatan.– AFP

Penduduk meredah air banjir di Beira, Mozambique pada 24 Januari 2021. – AP