‘Sila duduk, jangan lari’

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini mencuit perhatian umum apabila secara berseloroh bertitah menasihatkan semua anggota Parlimen agar ‘tidak lari’ dari tempat duduk masing-masing ketika istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 hari ini.

Aksi spontan Seri Paduka ketika menjemput semua anggota Parlimen mengambil tempat duduk masing-masing itu disambut dengan tepukan dan tawa anggota Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang, sekaligus menceriakan suasana dalam dewan.

“Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tuan Yang Di-Pertua Dewan Negara dan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sila duduk dan jangan lari,” titah baginda sambil tersenyum.

Seri Paduka kemudiannya duduk untuk menyampaikan titah ucapan perasmian pembukaan.

Titah nasihat itu membuatkan ramai merujuk kepada insiden pembangkang bertindak keluar dewan semalam berikutan tidak puas hati dengan prosedur pelantikan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu.

Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V kelihatan ceria pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, kelmarin. – Bernama

Tindakan keluar dewan bukan perkara baharu semasa sidang Dewan Rakyat memandangkan hampir setiap kali mesyuarat berlaku insiden seumpamanya, melibatkan kalangan anggota pembangkang.

Malah, Seri Paduka dalam titahnya hari ini turut menasihati anggota Parlimen agar menggalas tugas dan amanah yang diberikan dengan jujur dan penuh dedikasi.

“Beta percaya ahli-ahli Yang Berhormat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir.

“… bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan dan bertatasusila supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar,” titah Seri Paduka.

Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang cukup signifikan kerana buat pertama kali dalam sejarah menyaksikan Malaysia dipimpin kerajaan baharu, Pakatan Harapan.

Mesyuarat ini juga melakar sejarah tersendiri kerana ini merupakan kali kedua Yang Di-Pertuan Agong merasmikan istiadat pembukaan penggal parlimen dalam tahun sama.

Mesyuarat Dewan Rakyat penggal ini akan berlangsung selama 20 hari sehingga 16 Ogos depan. – Bernama