Silap Arnautovic pandang rendah ​​liga bola sepak China

SHANGHAI, 1 SEPT – Marko Arnautovic (gambar bawah) mengatakan dia silap memandang rendah Liga Super China (CSL) setelah menyertainya tahun lalu dari West Ham United, mengakui “Saya tidak menjaga badan saya dan menikmati minuman bersoda.”

Pemain penyerang Austria itu menandatangani kontrak dengan Shanghai SIPG dengan harga 25 juta euro dan walaupun telah menjaringkan sembilan gol dalam 15 perlawanan, ia dikritik oleh beberapa pihak.

“Saya meremehkannya, saya tidak cukup sihat, saya tidak mempersiapkan diri seperti yang sepatutnya,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

“Saya tidak berlatih, saya tidak menjaga badan saya, saya makan, saya minum minuman bersoda seperti Sprite, Coca-Cola, Fanta semua minuman gula ini tidak baik untuk badan.

“Makan pada waktu yang salah. Tidak tidur kerana ketika saya datang ke China, saya mengambil masa sekitar tiga minggu hingga saya dapat menyesuaikan diri dengan waktu di sini.

“Saya tidur pada pukul 6, 7 pagi. Saya bangun jam 3, 4 petang, pergi berlatih, bangun semula sepanjang malam, makan pada waktu yang salah.”

Arnautovic, menyertai SIPG pada bulan Julai tahun lalu, memulakan musim baharu yang ditangguhkan oleh COVID-19.

Bermain bersama bekas bintang Chelsea, Oscar dan penyerang Brazil, Hulk. Arnautovic telah menjaringkan lima gol dalam lapan perlawanan CSL untuk membantu SIPG memulakan kempen tanpa kalah.

Dia juga memberikan assist untuk Oscar dalam kemenangan 2-1 baru-baru ini menentang pesaing juara Beijing Guoan.

“Saya tidak perlu mendengar dari media mana pun, atau saya tidak perlu mendengarnya dari peminat mana pun yang menkritik,” kata Arnautovic, sebelum ini juga pernah bersama Stoke City dan Inter Milan.

“Saya adalah pengkritik terbesar saya, jadi jika saya tidak melakukannya dengan baik, saya akan mengatakan kepada diri sendiri, ‘Anda tidak melakukannya dengan baik, anda perlu melakukan yang lebih baik.” – AFP