Sunday, December 4, 2022
31.7 C
Brunei

-

Silat Hari Keputeraan buka tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Pertandingan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71, 2017, kini sedang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Pertandingan tahunan anjuran Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB) yang bermula kelmarin itu dijangka menutup tirainya pada 26 Julai nanti.

Tiga kategori utama pertandingan ialah Kuntau, Cakak Asli dan Tanding, yang kemudiannya dipecahkan lagi kepada kategori lelaki dan perempuan. Kuntau dan Cakak Asli seterusnya dibahagikan kepada dua kategori lagi iaitu remaja dan dewasa, manakala Tanding dikategorikan mengikut Kelas (menurut timbangan berat badan yang ditetapkan).

Merasmikan pertandingan tahun ini dengan mengeluarkan keris khas dari sarungnya sambil melaungkan takbir sebanyak tiga kali ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad. Mengiringinya ialah Yang Dipertua PERSIB, Pengiran Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ludin.

Antara pergerakan menarik yang dihasilkan oleh dua orang pesilat yang bersaing dalam Kategori Kuntau di pertandingan tersebut.
Antara pergerakan menarik yang dihasilkan oleh dua orang pesilat yang bersaing dalam Kategori Kuntau di pertandingan tersebut.

Majlis pembukaan rasmi pertandingan bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan, ‘Allah Peliharakan Sultan’, disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan Doa Selamat.

Kemuncak acara majlis menyaksikan upacara perarakan keris khas sebelum ia diserahkan kepada Awang Haji Noor Jusmin sebagai pengisytiharan pembukaan rasmi pertandingan itu. Keris yang sudah dihunus kemudiannya diserahkan kembali kepada Ketua Pertandingan untuk diletakkan di tempat yang dikhaskan.

Majlis turut diisi dengan Bacaan Ikrar Pesilat dan bacaan Ikrar Wasit/Juri, disusuli dengan sesi memperkenalkan tetamu kehormat kepada pengurus-pengurus pasukan, para peserta dan wasit/juri.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -