Silat Hari Keputeraan labuh tirai

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Pertandingan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71, 2017 secara rasminya ditutup malam tadi apabila Keris Khas disarungkan semula oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Yang Amat Mulia juga berkesudian menyempurnakan penyampaian Perisai Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada juara Cakak Asli Lelaki Dewasa dan juara Kuntau Lelaki Dewasa.

Pesilat Brunei Muara, Awangku Abdul Mu’izz bin Pengiran Haji Abdul Karim mencipta sejarah apabila muncul juara tiga tahun berturut-turut dalam acara Cakak Asli Lelaki Dewasa selepas mengalahkan pesilat Temburong, Muhammad Zulkarnain bin Abdul Rahim dengan kiraan mata 5-0 malam tadi.

Sementara pesilat Temburong, Omar Abdul Aziz bin Haji Ismail merangkul kejuaraan kali kedua peribadinya dalam acara Kuntau Lelaki Dewasa setelah menang 5-0 ke atas pesilat Tutong, Mohd Nurazfar bin Abang Ahmad.

Pada malam terakhir pertandingan yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu perlawanan akhir acara Tanding Lelaki ‘D’ (60-65 kg) turut diadakan, yang menyaksikan pesilat Belait, Abdul Rahim menang 5-0 ke atas pesilat Tutong, Mohd Ashrani Azri bin Abu Hanifah.

Juara Cakak Asli (kiri), juara Kuntau (dua dari kanan) bersama YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Juara Cakak Asli (kiri), juara Kuntau (dua dari kanan) bersama YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Yang Amat Mulia ketika menyarungkan semula Keris Khas bagi menutup rasmi Silat Hari Keputeraan Ke-71 Tahun, 2017.
Yang Amat Mulia ketika menyarungkan semula Keris Khas bagi menutup rasmi Silat Hari Keputeraan Ke-71 Tahun, 2017.
Abdul Rahim dari Daerah Belait ketika berjaya menjatuhkan pesilat Daerah Tutong, Mohd Ashrani Azri dalam acara Tanding D Lelaki akhir.
Abdul Rahim dari Daerah Belait ketika berjaya menjatuhkan pesilat Daerah Tutong, Mohd Ashrani Azri dalam acara Tanding D Lelaki akhir.

Kemenangan yang diperolehi Abdul Rahim itu memberikan emas keempat buat Daerah Belait sekali gus membantu Daerah Belait muncul juara keseluruhan acara Tanding dengan kutipan empat emas, dua perak dan tiga gangsa, manakala Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu berpuas hati di tempat kedua dengan kutipan empat emas, dua perak dan dua gangsa.

Daerah Tutong di tempat ketiga dengan dua emas, lima perak dan satu gangsa, diikuti Daerah Brunei Muara dengan dua emas di tempat keempat dan Daerah Temburong di tempat kelima dengan tiga perak dan empat gangsa.

Selesai majlis penyampaian hadiah, Yang Amat Mulia telah berkesudian untuk menutup rasmi pertandingan tahunan anjuran Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB), yang telah bermula pada 22 Julai itu, dengan menyarungkan semula Keris Khas sambil diiringi oleh Yang Dipertua PERSIB, Pengiran Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ludin.

Pertandingan telah dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Kuntau, Cakak Asli dan Tanding, yang kemudiannya dipecahkan lagi kepada kategori lelaki dan perempuan. Kuntau dan Cakak Asli seterusnya dibahagikan kepada dua kategori lagi iaitu remaja dan dewasa, manakala Tanding dikategorikan mengikut Kelas (menurut timbangan berat badan yang ditetapkan).