Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Silat Laksamana Singa legasi seni warisan pertahanan Melayu

    MUAR – Seni bela diri seperti warisan seni silat pusaka bukanlah sesuatu yang baharu di negara Asia Tenggara, malahan sehingga kini ada sahaja jenis silat baharu yang diperkenalkan.

    Penubuhan persatuan persilatan baharu membuktikan masih ada pihak yang mahu memartabatkan seni warisan pusaka Melayu itu agar ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.’

    Seperti Seni Silat Laksamana Singa, yang ditubuhkan pada 2015 di Parit Amal Darat, Muar di sini, ia berkonsepkan gabungan antara kesenian warisan Melayu dan juga mempertahankan diri.

    Namun, apa yang lebih menarik, silat ini berjaya direalisasikan selepas pengasasnya, Idris Mohamed, 40, menggabungkan lima jenis persilatan lain yang telah beliau pelajari di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah ketika berumur 20an.

    “Sebelum ini saya ada dalam perguruan seperti Seni Silat Harimau, Seni Silat Gerak Sendeng, Seni Silat Pulut, Tari Silat Melayu dan juga Seni Silat Kuntau Pattani.

    Pengasas Seni Silat Laksamana Singa Idris Mohamed ketika ditemu bual media. – Bernama
    Ahli Seni Silat Laksamana Singa bergambar ramai ketika sesi latihan di Parit Amal Darat, Muar. – Bernama
    Menurut Idris Mohamed, misi beliau tidak lain adalah untuk memelihara seni warisan pusaka melayu di samping memupuk semangat jati diri seseorang, serta membangkitkan disiplin anak muda daripada terjebak dengan gejala sosial. – Bernama
    Seni Silat Laksamana Singa, yang ditubuhkan oleh pengasasnya, Idris Mohamed, pada tahun 2015 di Parit Amal Darat, Muar ini berkonsepkan gabungan antara kesenian warisan Melayu dan juga mempertahankan diri. – Bernama
    Ahli Seni Silat Laksamana Singa ketika sesi latihan di Parit Amal Darat, Muar. – Bernama

    “Jadi daripada pengalaman saya ini, saya asaskan Seni Silat Laksamana Singa atas semua sekali gabungan tersebut menjadi satu silibus persilatan yang efektif,” katanya yang ditemui ketika menjalankan latihan silat baru-baru ini.

    Menurut anak jati Muar itu, misi beliau tidak lain adalah untuk memelihara seni warisan pusaka Melayu di samping memupuk semangat jati diri seseorang, serta membangkitkan disiplin anak muda daripada terjebak dengan gejala sosial.

    Tidak hanya mementingkan aspek pertahanan diri yang merupakan perkara asas dalam persilatan, Idris tetap memartabatkan kesenian di dalam Silat Laksamana Singa kerana seni dalam silat mempunyai maksud yang tersirat.

    “Jadi dalam silat saya, selepas mereka habis silibus tangan kosong (tanpa senjata), saya akan ajar mengenai pertahanan diri sebagai silibus tambahan supaya mereka tidak gabra semasa menerima serangan yang tidak dirancang,” kata kontraktor persendirian itu.

    Bermula di Muar, kini Seni Silat Laksamana Singa telah berkembang ke negeri lain dengan pembukaan tiga cawangan di Selangor iaitu Jalan Kebun, Shah Alam dan Puchong serta masing-masing satu cawangan di Pernu, Melaka dan Selama, Perak.

    Idris, yang merupakan jurulatih kepada Satria (pelatih lelaki) di sini, turut dibantu isterinya Suhana Abdul Hamid, 28, bagi mengajar pelatih wanita, atau dipanggil Serikandi, memandangkan sesi latihan diasingkan mengikut jantina.

    Sejak ditubuhkan hingga sekarang, lebih 200 individu berdaftar telah dilatih di seluruh negara dengan pelatih paling muda berumur lapan tahun dan paling tua berumur lebih 50 tahun.

    Seni silat itu mempunyai peringkat bengkung kepada pelatih mengikut warna, dengan warna putih di peringkat paling bawah, diikuti warna hitam, hijau dan merah, manakala bengkung kuning adalah untuk jurulatih yang telah tamat semua peringkat.

    Selain melatih ahli baharu, Seni Silat Laksamana Singa juga telah menyertai Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Daerah Muar dan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Johor.

    Bagaimanapun, Idris yang merupakan bekas Presiden Muay Thai Daerah Petaling, mengakui persilatan mereka masih baharu dan memerlukan promosi untuk pengambilan ahli baharu.

    Sehingga kini juga, persilatan itu sudah mempunyai kira-kira 20 jurulatih namun ada antara mereka yang belum mempunyai gelanggang silat sendiri untuk mengajar ahli baharu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...