Silent kafe ubah persepsi terhadap golongan pekak

KAMPALA – Di pinggir bandar Kampala, Nankulabye yang sibuk, terdapat sebuah kedai kopi yang akan mengubah sikap pandangan orang ramai terhadap dunia senyap.

Silent Cafe, yang dimiliki dan diuruskan oleh orang yang mengalami masalah pendengara, dihiasi dengan seni lukisan Afrika dan bau aroma kopi yang pasti menarik orang ramai yang melintasi kafe tersebut.

Papan bahasa isyarat digantung di satu sudut manakala menu ditulis di papan lain. Ini memudahkan pelanggan untuk memilih pilihan makan malam mereka dengan hanya menunjuk pada menu.

Pintu kaca menghalang awda dari suasana jalan yang bising, selain daripada bunyi mesin kopi.

Roy Rusa, pengurus dan barista, menyambut pengunjung dengan senyuman dan bahasa isyarat. Semasa makan malam, jika awda tidak tahu bahasa isyarat, awda hanya perlu menunjuk apa yang awda mahukan atau tuliskannya di atas kertas atau menaipnya di dalam telefon, dan Roy atau rakan sekerjanya yang juga mengalami masalah pendengaran akan segera menulis pesanan itu.

Seorang pelanggan menunggu di Silent Cafe, sebuah kedai makan yang dimiliki dan dikendalikan oleh orang pekak, di Nankulabye, pinggir bandar Kampala, Uganda. – Xinhua
Nasser Ssenyondo (kiri) menghidangkan kopi kepada pelanggan di Silent Cafe. – Xinhua
Roy Rusa (kiri) berkomunikasi dengan Nasser Ssenyondo (kanan). – Xinhua
Roy Rusa, pengurus dan barista, membuat kopi di Silent Cafe. – Xinhua

Nasser Ssenyondo, pemilik kafe itu memberitahu Xinhua dalam temu bual baru-baru ini bahawa dia membuka restoran itu bukan sahaja untuk mengubah sikap orang yang mendengar terhadap orang pekak tetapi juga menawarkan pekerjaan kepada orang pekak dan menyedarkan mereka bahawa mereka mampu berdikari seperti orang ramai.

“Hasrat saya adalah untuk melakukan sesuatu yang boleh membawa pemerkasaan sosial-ekonomi kepada golongan kelainan upaya. Mereka sangat memerlukan penyertaan,” katanya.

“Sangat penting untuk masyarakat memahami bahawa hidup bukan tentang persaingan tetapi untuk bekerjasama. Kita semua berada pada tahap yang sama,” tambahnya.

Ssenyondo, dilahirkan di daerah Masaka tengah Uganda 30 tahun lalu, mengalami masalah pendengaran pada usia 10 tahun selepas serangan meningitis yang teruk. Ibu bapanya, yang merupakan petani kopi, menyokongnya sepanjang pendidikannya walaupun sikap masyarakat yang negatif terhadap orang pekak. Dia kini seorang pekerja sosial dengan ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan.

“Minat saya terhadap kopi bermula sejak dahulu lagi. Ibu bapa saya menjual kopi untuk membayar yuran persekolahan. Semua yang saya lalui terungkai dengan kopi,” katanya.

Menurut bancian penduduk terkini negara yang diterbitkan pada 2014, Biro Perangkaan Uganda yang dikendalikan kerajaan menganggarkan terdapat lebih satu juta orang pekak daripada lebih 40 juta orang penduduk di negara itu.

Persatuan Kebangsaan Orang Pekak Uganda, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, menganggarkan populasi pekak lebih ramai disebabkan oleh ketidakcukupan dalam pengumpulan data selain fakta bahawa pekak tidak dapat diketahui.

Membesar sebagai orang pekak, menurut Ssenyondo, adalah mencabar kerana ramai daripada mereka berhenti sekolah kerana diskriminasi sosial. Sesetengah masyarakat melihat kanak-kanak pekak sebagai satu sumpahan dan oleh itu mereka tidak mahu berinteraksi dengan mereka.

Dia berkata, kebanyakan diskriminasi sosial adalah akibat kurang pendedahan tentang dunia orang pekak. Dia berpendapat kurang pendedahan inilah yang ingin diubahnya dalam masyarakat.

Jika Ssenyondo tidak menyertai sebarang program jangkauan komuniti tentang orang pekak, dia akan berada di kafe itu, di mana dia menghulurkan bantuan menjadi sebagai seorang pelayan.

“Kami mahu membina masyarakat inklusif untuk semua. Saya ingin memberi sumbangan dan melihat bagaimana kita boleh menyelesaikan cabaran pengangguran, terutama dalam kalangan orang pekak,” katanya.

Chris Mugaya, pelanggan restoran, memberitahu Xinhua bahawa sikapnya mengenai orang pekak telah berubah.

“Silent Cafe menghubungkan orang pekak dengan semua. Dulu saya nampak orang pekak buat isyarat tapi saya tidak tahu bagaimana cara membalasnya, tapi sekarang saya boleh berinteraksi dengan mereka. Bila tengok orang pekak, saya anggap dia sebagai saudara. Saya telah belajar banyak perkara tentang mereka,” kata Mugaya.

Dia berkata orang pekak perlu tampil berani dan kuat, serta menunjukkan kepada dunia bahawa mereka adalah orang yang sama-sama berkemampuan.

Mugaya berkata selain itu, persediaan restoran menawarkan persekitaran yang baik untuk rangkaian sosial dan perniagaan.

Rusa, yang juga mempunyai minat dalam seni berkata sebagai seorang pekak, bekerja di restoran tempat dia berinteraksi dengan orang yang mendengar telah memulihkan keyakinannya. Hasratnya adalah untuk melatih lebih ramai orang pekak supaya mereka juga boleh mendapat keyakinan.

“Impian saya adalah menjadi pelatih. Jika saya mendapat peluang, saya memang mahu berkongsi kemahiran dan pengetahuan yang sama untuk melatih orang lain,” katanya.

Ssenyondo berkata walaupun perniagaan kini perlahan kerana pandemik COVID, dia mengimpikan untuk menubuhkan lebih banyak cawangan Silent Cafe di seluruh negara apabila perniagaan kembali normal.

Dia menyatakan bahawa semakin ramai orang pekak berinteraksi dengan dunia pertuturan, semakin banyak sikap negatif masyarakat terhadap mereka akan berkurangan. – Xinhua