Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Silinder ais berusia 1.2 juta tahun ditemui di dasar batuan Antartika

    AMERIKA SYARIKAT, 10 JAN – Satu pasukan saintis antarabangsa mengumumkan kelmarin bahawa mereka berjaya menggerudi salah satu silinder ais tertua setakat ini, menembusi hampir 2 batu ke dasar batuan Antartika untuk mendapatkan ais yang dikatakan berusia kira-kira 1.2 juta tahun.

    Analisis terhadap ais purba itu dijangka mendedahkan bagaimana atmosfera dan iklim Bumi telah berkembang. Ia juga dijangka memberikan pemahaman tentang perubahan kitaran Zaman Ais dan membantu memahami bagaimana karbon atmosfera telah mempengaruhi perubahan iklim, menurut mereka.

    “Melalui silinder ais ini, kita akan memahami apa yang telah berubah dari segi gas rumah hijau, bahan kimia dan habuk dalam atmosfera,” kata Carlo Barbante, seorang pakar glasier dari Itali dan penyelaras Beyond EPICA, projek untuk memperoleh silinder ais itu.

    Barbante juga merupakan pengarah Institut Sains Polar di Majlis Penyelidikan Kebangsaan Itali.

    Pasukan yang sama sebelum ini telah menggerudi silinder ais berusia kira-kira 800,000 tahun. Penggerudian terbaharu mencapai kedalaman 2.8 kilometer dengan kerjasama 16 saintis dan kakitangan sokongan, yang menjalankan kerja itu setiap musim panas selama empat tahun dalam suhu purata sekitar negatif -35 darjah Celsius.

    Penyelidik Itali, Federico Scoto, adalah antara ahli glasier dan juruteknik yang menyempurnakan penggerudian tersebut pada awal Januari di lokasi yang dikenali sebagai Little Dome C, berhampiran Stesen Penyelidikan Concordia.

    “Ia adalah saat yang hebat bagi kami apabila kami mencapai dasar batuan,” kata Scoto. Analisis isotop menunjukkan ais tersebut berusia kira-kira 1.2 juta tahun, tambahnya. – AP

    Silinder ais yang digerudi oleh pasukan penyelidik dipamerkan di pangkalan lapangan Little Dome C di timur Antartika, semasa fasa pemotongan pada Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda