Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Pasukan Silubang Bangsi muncul johan dalam Kejohanan Akhir Perlawanan Sepak Takraw antara Rumah-rumah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun, Lumapas, kelmarin.
Manakala naib johan pula disandang oleh Pasukan Arap Gegati dan tempat ketiga dimenangi bersama oleh Pasukan Sukma Indera dan Pasukan Bunga Putar.
Kejohanan tersebut menyaksikan penyertaan lima buah pasukan antaranya Silubang Bangsi, Sukma Indera, Liputan Madu, Bunga Putar dan Arap Gegati yang terdiri daripada warga KKBS yang berentap untuk merebut pingat emas, perak dan gangsa dalam perlawanan berkenaan.
Di samping memupuk semangat kekeluargaan melalui acara sukan, perlawanan tersebut juga bertujuan bagi menyatupadukan semua lapisan warga KKBS dengan satu matlamat menuju kejayaan.
Selain itu, perlawanan tersebut juga diharapkan dapat menarik minat warga KKBS dalam permainan tradisi sepak takraw dan seterusnya akan dapat mencungkil bakat pemain bagi mewakili sukan kementerian-kementerian pada masa akan datang.
