Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simbol negara merdeka

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 15 Feb – Bendera negara bukan hanya sekadar sehelai kain yang mempunyai warna atau motif tertentu bahkan ia adalah simbol identiti sesebuah negara yang merdeka lagi berdaulat.

    “Dengan hanya melihat bendera negara kita, secara automatik, bangsa dan negara asing akan mengenali Negara Brunei Darussalam yang kaya dengan nilai-nilai keBruneian dan falsafah Melayu Islam Beraja melalui warna-warna kuning, putih, merah dan hitam, panji-panji rasmi, serta tulisan dan cogan kata yang ada padanya,” sabda Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz semasa Majlis Utama Pengagihan Bendera Kecil dan Program Semarak Pengibaran Bendera di Sekolah Menengah Sayyidina Othman, pagi tadi.

    Menurutnya lagi, bendera negara adalah lambang perpaduan, kegigihan, kebersamaan dan kesatuan kita. Lebih penting lagi, ia merupakan lambang ketaatsetiaan dan semangat patriotisme kita kepada raja dan negara yang tercinta.

    Yang Amat Mulia seterusnya bersabda majlis pengagihan dan pengibaran bendera pada hari ini mempunyai makna yang mendalam. Bendera negara dapat menarik semua lapisan masyarakat untuk turut sama memeriahkan suasana Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-34 sekali gus bangkit secara aktif menjayakan wawasan.

    Oleh itu, rakyat dan penduduk yang mempunyai ciri-ciri atau calak keBruneian yang unggul, disarankan menghormati dan menjaga kedaulatan bendera negara.

    Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz semasa menyampaikan sabda di Majlis Utama Pengagihan Bendera Kecil dan Program Semarak Pengibaran Bendera di Sekolah Menengah Sayyidina Othman, pagi kelmarin.

    Yang Amat Mulia juga menyeru para pemimpin akar umbi iaitu penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, para pemimpin belia, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan yang lain untuk menggalakkan anak-anak buah mereka untuk mengingati antara satu sama lain tentang amanah dan tugas dan tanggungjawab tersebut.

    “Bagi tahun ini, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan ke-34 telah bersetuju bagi tema Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dikekalkan seperti tahun lepas iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’ kerana ia masih relevan untuk diketengahkan.

    “Kini hanya tinggal 17 tahun lagi negara kita akan mencapai wawasan pada tahun 2035. Tanpa disedari masa berjalan dan 17 tahun akan berlalu dengan begitu cepatnya. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus berusaha mengajak semua lapisan rakyat dan penduduk serta masyarakat negara ini, berazam memainkan peranan masing-masing ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035,” Sabda Yang Amat Mulia lagi.

    Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz turut menyeru kepada para belia yang bakal menjadi peneraju negara pada tahun 2035 nanti agar belajar dengan gigih, berusaha sedaya upaya, menjadi pemimpin yang berwibawa dan perlu memilih apa jua bidang yang diminati dan berfaedah kerana merekalah tenaga yang diperlukan untuk meneruskan pembangunan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda