Simbol perpaduan rakyat jepun

TOKYO, 22 OKT – Maharaja Jepun, Naruhito telah mengisytiharkan pemasyhuran baginda sebagai pewaris takhta dalam satu majlis ritual rasmi hari ini, lapor agensi berita Sputnik.

Upacara itu satu daripada elemen penting dalam istiadat pemasyhuran maharaja baharu yang berlangsung di hadapan kira-kira 2,000 tetamu termasuk ketua dan wakil kerajaan asing.

Acara utama diadakan di Bilik Pine Istana Imperial, di mana pembantu diraja membuka langsir ungu yang tergantung daripada dua struktur berhias yang menempatkan takhta maharaja, mendedahkan maharaja dan maharani berdiri di dalam.

“Selepas mewarisi takhta selaras dengan undang-undang dan perlembagaan negara, saya kini melaksanakan Upacara Penyerahan di Dewan Negeri Seiden,” kata maharaja dalam ucapannya.

Baginda berjanji akan menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan perlembagaan dan melaksanakan peranannya sebagai simbol kepada negara dan rakyat Jepun.

Berdiri di hadapan maharaja, ditemani oleh ahli keluarga diraja yang juga memakai jubah tradisional, Perdana Menteri Shinzo Abe berjanji rakyat Jepun akan ‘menghormati Baginda Maharaja sebagai simbol negara dan perpaduan rakyat Jepun.’

Beliau seterusnya mengangkat tangannya tiga kali, melaung ‘Banzai’ atau ‘Tuhan lanjutkan usia maharaja!’

Naruhito mewarisi takhta secara rasmi pada 1 Mei selepas ayahandanya bekas Maharaja Akihito mengambil keputusan untuk berundur atas faktor usia selepas tiga dekad menjadi maharaja. – Bernama/AFP

Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako bertolak dari Istana Akasaka untuk menghadiri bankuet di Istana Imperial di Tokyo pada 22 Oktober. – AFP