Simbol perpaduan rakyat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-72, hari ini, bersabda bahawa tarikh 15 Julai secara tradisi sudah terpahat dalam hati dan minda setiap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini sebagai peluang keemasan bagi menzahirkan rasa syukur dan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Ia juga merupakan simbol kekukuhan perpaduan rakyat yang sekian lama telah menjamin kemajuan, keamanan dan kemakmuran berterusan di bawah kepimpinan seorang raja yang bijaksana lagi berjiwa rakyat.

“Oleh itu, kesempatan dalam menzahirkan kesyukuran itu seharusnya terserlah melalui atur cara-atur cara yang dilaksanakan bersempena sambutan yang penuh bermakna itu,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota lagi pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan di Jabatan Perdana Menteri.

DYTM Pengiran Muda Mahkota bersabda, “Di sinilah setiap yang bertanggungjawab dalam sambutan ini perlu bijak dalam merencana dan menyusun atur majlis-majlis serta acara yang sebolehnya berupaya membuka peluang luas serta menarik penglibatan yang aktif lagi bermakna di kalangan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) termasuk penuntut sekolah dan belia serta rakyat dan penduduk negara ini amnya.

“Apa yang kita ingin lihat ialah kelangsungan perpaduan rakyat dan penduduk di negara ini dalam suasana kegemilangan sambutan ulang tahun hari keputeraan Paduka Ayahanda yang terhasil daripada kesepakatan dan kemuafakatan yang kukuh.”

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersabda pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-72, kelmarin.

DYTM Pengiran Muda Mahkota bersabda lagi bahawa adalah jelas kepentingan perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa apatah lagi dalam usaha kita ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.

“Tidak kurang pentingnya ialah peranan para belia. Pada hemat saya, kesempatan seumpama ini perlulah diambil manfaat sepenuhnya oleh kalangan belia dalam memupuk semangat sukarelawan dengan sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat bakti baik dari segi tenaga mahupun fikiran semata-mata untuk kepentingan raja, agama, bangsa dan negara.

“Mudah-mudahan acara sambutan yang kita ungkayahkan ini akan terus dijadikan landasan pada memantapkan lagi keharmonian bernegara, keakraban antara Raja dan rakyat jelata, menyuntik semangat jati diri, serta terus taat setia dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Paduka Ayahanda serta negara yang tercinta ini.”

DYTM Pengiran Muda Mahkota yakin persiapan dan persediaan tertentu bagi 2018 sudah mula direncana dengan rapi oleh setiap yang terlibat dalam memastikan kesempurnaan dan kejayaan acara-acara itu nanti.

“Namun dalam melakar setiap perancangan tersebut, ia haruslah terpandu oleh titah-titah Paduka Ayahanda khususnya dalam perkara-perkara melibatkan kemaslahatan rakyat dan penduduk di negara ini.

“Dalam hubungan ini, saya ingin menekankan akan pentingnya dalam menjaga kebersihan persekitaran daripada sampah sarap sama ada sebelum, semasa mahupun selepas selesai apa pun acara yang dilangsungkan.

“Ini adalah selaras dengan titah Paduka Ayahanda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara pada 5 Mac yang memberikan perhatian serius mengenai isu kebersihan khususnya pembersihan Brunei daripada sampah dan kotoran serta akta mengenainya.

“Kita tidak mahu orang mempersendakan akta kerana kelemahan kita. Ada akta sahaja belum memadai tanpa didaulatkan melalui perlaksanaan.

“Saya percaya pengalaman daripada sambutan yang lalu setentunya boleh saja dijadikan sandaran kepada penambahbaikan mahupun pembaharuan dalam melakar persiapan acara termasuklah usaha menangani masalah yang bersampingan dengannya khususnya isu kebersihan.”