Simeone percaya kemampuan Suarez

MADRID, 27 SEPT – Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone percaya Luis Suarez mampu menjulang kelabnya ke tahap yang lebih tinggi dan berkata pemain yang baru ditandatanganinya itu akan berada dalam skuad menjelang aksi menentang Granada malam ini.

Suarez menyertai Atletico selepas disingkirkan dari Barcelona, menyaksikan pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan kelab secara percuma dan hanya perlu dibayar dengan nilai tambahan sebanyak 5 juta euro.

“Kehadirannya membuka peluang kepada kami untuk terus berkembang dan kami seperti mendapat suntikan semangat baharu.

“Kami pernah berbincang sebelum dia ke Barcelona dan ketika itu kami merasakan dia akan bersama kami. Selama enam tahun dia mengharungi musim dengan penuh dengan kejayaan.

“Rakan sepasukannya sekarang mahu dia cepat menyesuaikan diri, jadi jaringan dan permainannya boleh membantu kami,” kata Simeone.

Simeone berkata, Suarez mula berlatih dengan rakan sepasukannya sejak semalam dan berada dalam landasan terbaik untuk tampil kali pertama menentang Granada di Wanda Metropolitano malam ini. – AFP

Simeone percaya Suarez mampu menjulang kelabnya ke tahap yang lebih tinggi dan berkata pemain itu akan berada dalam skuad menjelang aksi menentang Granada. – AFP