Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Simpan alat pemadam api dalam kenderaan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan pihak syarikat pengangkutan untuk sentiasa memastikan mereka menyimpan alat pemadam api jenis debu kering 2 hingga 4 kilogram bagi mana-mana jenis lori, treler dan trak serta tahu tatacara menggunakan alat pemadam api dengan betul.

    Seruan itu dibuat susulan satu insiden di mana bahagian belakang sebuah treler yang membawa kontena kosong mengalami kebakaran di Lebuh raya Muara-Tutong pada pagi 29 April lalu.

    JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa lapan orang anggota Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh DSO Misli bin Haji Pungut telah dikejarkan ke tempat kejadian di Lebuh raya Muara-Tutong kawasan Lugu yang menuju Tutong di Kilometer 82.6 pada pukul 6:03 pagi.

    Apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api besar telah membakar bahagian belakang treler berkenaan.

    Anggota bomba segera bertindak memakai set alat pernafasan dan memadamkan kebakaran dengan air diperoleh dari jentera bomba.

    Api besar dilihat membakar bahagian belakang sebuah treler di Lebuh raya Muara-Tutong kawasan Lugu menuju Tutong di Kilometer 82.6 pada 29 April lalu.
    Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran bahagian belakang treler berkenaan.

    Dalam kejadian berkenaan, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dengan kebakaran dapat dikawal dalam masa kira-kira 3 minit di mana punca dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

    JBP menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

    Orang ramai turut disarankan untuk memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem pendawaian arus elektrik enjin dan aksesori kereta hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan pendawaian terbakar.

    JBP turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

    Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hendaklah menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang
    tepat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...