Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Simpan artifak lama satu kesalahan

    Oleh Nurdiyanah R

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Menjadi satu kesalahan orang ramai yang menyimpan artifak-artifak lama yang ditemui di kawasan tanah milik persendirian, di bawah Akta Barang-barang Harta Purba Kala dan Harta Terpendam.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad menekankan perkara itu ketika mengulas persoalan sekiranya terdapat orang ramai yang menyimpan artifak-artifak lama yang ditemui di kawasan tanah milik persendirian, yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman semasa permesyuaratan MMN di Dewan Majlis pagi tadi.

    Jelas beliau, akta berkenaan memperuntukkan beberapa perkara dalam Bahagian 2, Seksyen 3; dan Bahagian 9, Seksyen 37 iaitu tiap-tiap bahan purba yang dijumpai di Negara Brunei Darussalam adalah menjadi hak mutlak kerajaan Brunei.

    Ini termasuk semua barang purba yang ditemui sama ada di atas tanah, terpendam dalam tanah, atau terpendam di dasar sungai, tasik atau laut.

    Sesiapa yang melanggar akta tersebut boleh dikenakan hukuman penjara setahun dan denda $3,000 iaitu pada rujukan Bahagian 9, Seksyen 37 (1), semakan pada tahun 2022.
    Yang Berhormat Dato menekankan lanjut, tidak seorang pun dibenarkan untuk berniaga barang-barang purba kecuali mendapat kelulusan dan kebenaran lesen perniagaan daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia, dan Sukan (KKBS).

    Sesiapa yang melanggar akta tersebut boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda sebanyak $2,000 merujuk kepada Bahagian 9, Seksyen 37 (7), semakan pada 2022.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan, setakat ini terdapat satu kes direkodkan yang melibatkan penyeludupan barang-barang artifak atau arkeologi di Negara Brunei Darussalam pada 2022.

    “Jabatan Muzium-Muzium bertanggungjawab sepenuhnya dan mempunyai keutamaan yang tinggi dalam melindungi dan memelihara warisan negara dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja; dan Pejabat Peguam Negara,” jelasnya.

    Beliau turut mengongsikan, pengimportan barang-barang bersejarah ke negara ini semakin meningkat daripada satu permohonan pada 2009 kepada 1,436 bahan dipohonkan pada 2022.

    Yang Berhormat Dato menambah bahawa Jabatan Muzium-Muzium telah mengambil beberapa inisiatif untuk menjaga warisan budaya seperti menganjurkan ceramah sekolah-sekolah dan agensi-agensi kerajaan; mengadakan jerayawara dan menyebarkan poster bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dengan ketara tentang kesan aktiviti pemerdagangan haram atau penyeludupan.

    “Pada peringkat ASEAN, menerusi menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam kebudayaan dan kesenian, beberapa deklarasi telah dipersetujui termasuk persetujuan bagi sama-sama mengawal pemerdagangan haram barang bersejarah.

    “Manakala di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam telah menandatangani Konvensyen UNESCO mengenai penjagaan warisan budaya dunia pada tahun 2011; pengawalan pemerdagangan haram barang bersejarah telah dipersetujui bersama,” ujar Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...