Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simpan hasrat menjadi pengarah aksi

    PELAKON Faizal Hussein, 51, lebih berminat menjadi pengarah aksi (action director) berbanding pengarah filem dan sudah dua kali menolak tawaran menjadi pengarah filem, sebelum ini.

    Dia yang baru muncul dalam filem berjudul Kalla: Hidup atau Mati berkata, ramai pengarah tempatan mahu menghasilkan filem aksi.

    “Menjadi pengarah filem aksi disifatkan sebagai tahap tertinggi dalam pengarahan tapi kadang kala mereka terlepas untuk fikir soal bajet.

    “Pengarah aksi diperlukan untuk persembahan babak aksi dan apabila mereka tiada, keputusan persembahan aksi terpaksa diletak di tangan koordinator aksi,” katanya.

    Faizal menegaskan seandainya diberi peluang menjadi pengarah aksi, ia perlulah hasil tangannya sendiri, bukan daripada pengarah filem.

    Dia akui berminat untuk menjadi pengarah aksi apabila pernah berlakon dengan pengarah filem aksi yang tidak tahu mengarah babak aksi dan apabila terjadi situasi sebegitu, dia terpaksa masuk campur.

    Katanya, seorang pengarah perlu melihat keupayaan seseorang pelakon dan tidak boleh memaksa mereka melakukan aksi lebih daripada keupayaan mereka.

    “Banyak pengarah filem berasakan seolah tahu padahal mereka tidak tahu dan hanya mengharapkan koordinator aksi yang tidak tahu mengenai sudut kamera lantas menjadikan keputusan teknikal itu diletak di tempat salah,” katanya.

    Pengarah aksi wajib tahu koreografi sesuai untuk bermain di depan kamera agar apabila hasilnya kelak tidak memeningkan penonton.

    Faizal Hussein baharu sahaja tampil dengan filem baharu berjudul Kalla: Hidup atau Mati.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda