Simpanan TAP untuk tunaikan Haji

Saya ingin mendapatkan pengesahan daripada pihak Tabung Amanah Pekerja (TAP) khususnya terhadap penggunaan simpanan TAP kami.

Saya mendapati daripada laman sesawang TAP bahawa kami hanya akan layak mengeluarkan simpanan jika kami berhasrat untuk berpindah secara tetap ke luar negara, disahkan secara fizikal atau mental tidak berupaya untuk melakukan sebarang pekerjaan, mengeluarkan simpanan untuk membeli, membuat rumah atau pembayaran balik pinjaman rumah kepada bank atau perumahan kerajaan dan mencapai umur 50 atau 55 tahun.

Membenarkan kami untuk mengeluarkan awal bagi membina atau membeli rumah merupakan satu rahmat kepada mereka yang ingin berbuat demikian. Akan tetap, saya ingin bertanya, adakah kami dapat mengeluarkan awal simpanan tersebut untuk kegunaan yang lain.

Tidak semua akan membina atau membeli rumah akan tetapi setiap individu yang beragama Islam dan mempunyai simpanan di TAP akan mempunyai impian untuk menunaikan fardu Haji sekali dalam hidup mereka.

Adakah pihak TAP membuat pertimbangan bagi mereka yang beragama Islam untuk menggunakan tabung simpanan mereka untuk menunaikan fardu Haji? Bolehkah pihak yang berkuasa untuk mempertimbangkan cadangan ini? – Pergi menunaikan Haji