Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simpati terhadap penderitaan keluarga Baudelaire

    ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

     

    SIRI buku kanak-kanak popular karya Lemony Snickets yang berjudul A Series of Unfortunate Events pernah diadaptasi ke dalam bentuk sebuah filem yang diarahkan oleh Brad Silberling pada tahun 2004.

    Berikutan daripada populariti siri tersebut yang tetap diraih sehingga kini, siri tersebut juga sekali lagi diadaptasi ke dalam bentuk siri televisyen yang dikembangkan oleh dua orang sutradara iaitu Mark Hudis dan Barrt Sonnenfeld.

    Siri drama yang menampilkan elemen fantasi, misteri dan komedi ini membariskan barisan pelakon hebat iaitu Neil Patrick Harris, Patrick Warburton, Malina Weissman, Louis Hynes, K.Todd Freeman dan Presley Smith.

    Tidak seperti di dalam adaptasi filem asal, karakter Lemony Snickets iaitu penulis siri buku popular kanak-kanak ini turut ditampilkan dalam siri drama ini sebagai seorang pencerita yang dilakonkan oleh Patrick Warburton.

    Sementara karakter penjahat utama, Count Olaf yang pernah dilakonkan oleh Jim Carey dalam filem asal pula kini dilakonkan oleh Neil Patrick Harris yang sebelum ini pernah membintangi siri drama How I Met Your Mother.

    Count Olaf sering menyeksa kehidupan tiga orang adik beradik Baudelaire.
    Count Olaf sering menyeksa kehidupan tiga orang adik beradik Baudelaire.

    Pada dasarnya, siri drama ini mengisahkan mengenai kisah tiga orang anak yatim dari keluarga Baudelaire yang mengalami pelbagai kisah penderitaan berikutan daripada tragedi kebakaran rumah mereka yang turut mengorbankan kedua orang ibu bapanya.

    Namun pada hakikatnya ketiga-tiga orang anak yatim itu,Violet lakonan Malina Weismann, Klaus lakonan Louis Hynes dan Sunny lakonan Presley Smith adalah pewaris kepada kekayaan harta yang ditinggalkan oleh kedua orang ibu bapanya.

    Menyedari akan kekayaan yang diwarisi oleh tiga orang anak yatim itu, Count Olaf, satu-satunya saudara terdekat telah bersetuju untuk menjadi penjaga mereka.

    Bagaimanapun, Count Olaf cukup terkenal dengan sikap jahat dan tamaknya sehingga seringkali menyeksa ketiga-tiga anak yatim itu serta turut merencana untuk merampas harta kekayaan yang diwarisi oleh tiga orang anak yatim itu.

    Justeru, apakah kesudahan nasib yang bakal diterima oleh ketiga-tiga orang anak yatim dan satu-satunya cara untuk mengetahuinya adalah dengan menonton siri drama A Series of Unfortunate Events sehingga ke penghujungnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda