Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan dengan kerjasama CfBT Education Services telah mengadakan simposium English Language Peer Partnership (ELPP) Learning Study bertempat di Dewan Silaturahim, Pusat Belia di ibu negara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin. Turut hadir ke simposium tersebut ialah ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.
Country Manager, CfBT Education Services, Dominic Morley dalam ucapannya semasa simposium berkenaan, antara lain menjelaskan simposium diadakan yang bertujuan untuk mempamerkan kajian dan pembelajaran profesional yang berlangsung di dalam Learning Teams, mempamerkan impak dan keberkesanan projek ELPP, serta memberikan peluang kepada orang berkepentingan untuk terlibat secara langsung mengenai perkembangan profesional.
Simposium kemudiannya diteruskan dengan ucaptama Professional Learning: The Heartbeat of Effective Teaching oleh Deputy Country Manager, CfBT Education Services, Dr Louise Pagden.
Acara diakhiri dengan penyampaian sijil kepada 37 orang guru Bahasa Inggeris dan CfBT peer mentors sebelum pembentangan poster kajian dibuat mengikut kumpulan masing-masing yang mana penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati.