Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simposium PERKAB giat khidmat kaunseling lebih proaktif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Simposium Kaunseling Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam (PERKAB) diharap akan menjadi pemangkin bagi pengamal-pengamal kaunseling dalam negara untuk lebih proaktif dalam sama-sama memajukan, meningkatkan imej dan pengiktirafan orang ramai terhadap profesion berkenaan.

    Penganjuran simposium itu bermatlamat untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menangani cabaran kesihatan mental di peringkat kebangsaan dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat serta melengkapkan pemimpin akar umbi dengan kemahiran kaunseling yang diperlukan untuk menjadi para kaunselor dalam kalangan masyarakat.

    Perkara itu dinyatakan oleh Presiden PERKAB, Mejar (B) Rusli bin Bujang dalam ucapan alu-aluannya di Perasmian Simposium Kaunseling PERKAB 2024 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, hari ini.

    Mejar (B) Rusli Bujang menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian simposium berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Atas & Bawah: Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan simposium berkenaan.

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Mejar (B) Rusli berkata simposium itu juga bermatlamat untuk mengupayakan jaringan pemimpin masyarakat yang celik kesihatan mental yang dapat diharap untuk memberikan sokongan awal daripada peringkat bawah serta melipatgandakan impak terhadap sebarang inisiatif menangani isu kesihatan mental dalam pelbagai lapisan masyarakat.

    Beliau seterusnya berkata simposium yang membawa tema Dari Kesedaran Kepada Tindakan: Memobilisasi Kemahiran Kaunseling di Peringkat Akar Umbi untuk menangani Cabaran Kesihatan Mental adalah sangat relevan dan tepat pada masanya.

    “Isu kesihatan mental semakin menonjol di seluruh dunia dan masyarakat kita tidak terkecuali.” Beliau menambah, “ Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan baru-baru ini yang menekankan keperluan untuk inisiatif kesihatan mental yang menyeluruh telah memberi inspirasi kepada kita untuk mengumpulkan para pemimpin akar umbi, profesional kesihatan dan membincangkan serta bertindak ke arah penyelesaian di peringkat komuniti.”

    Mejar (B) Rusli juga menyatakan perhimpunan berkenaan merupakan satu langkah penting ke arah membina rangkaian sokongan dalam masyarakat dengan matlamat bukan sahaja untuk menyampaikan pengetahuan tetapi mencipta pendekatan yang mampan supaya komuniti mendapat sokongan yang aktif.

    Atas & Bawah: Antara yang hadir ke simposium berkenaan.

    “Dengan melatih dan memobilisasi pemimpin dalam masyarakat, kita berharap dapat menangani isu kesihatan mental dari akarnya, memastikan bahawa bantuan dapat diakses dengan mudah,” tambah beliau.

    Simposium selama tiga hari bermula hari ini hingga 14 November menyaksikan penyertaan daripada pemimpin-pemimpin akar umbi yang dibahagikan kepada beberapa sesi termasuk sesi plenari, perbincangan panel, bengkel dan sesi selari. – Gambar oleh Rafi Rosli

    Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin dan Mejar (B) Rusli Bujang melawat pameran di simposium berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda