Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simposium perkukuh hubungan diplomatik Oman, Brunei

    Oleh: Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman terus meningkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara sejak 40 tahun lalu melalui hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala.

    Dalam hubungan itu, Simposium Oman-Brunei Relations: A Thriving Present and Promising Future telah diadakan bukan sahaja meraikan ulang tahun hubungan diplomatik Brunei dan Oman Ke-40 tahun tetapi turut mencerminkan perjalanan bersama kedua-dua negara meneroka pelbagai peluang untuk kepentingan bersama.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Al Kathiry dalam ucapan alu-aluannya di Simposium Hubungan Oman-Brunei bagi Meraikan 40 Tahun Hubungan Diplomatik yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan menghadiri majlis berkenaan.

    Dalam ucapannya lagi, Puan Yang Terutama Erma Al Kathiry menerangkan mengenai warisan yang dikongsi oleh kedua-dua buah negara yang amat menghormati tradisi dan kepimpinan Sultan yang dikasihi. Beliau menyatakan signifikan perjalanan persahabatan 40 tahun kedua-dua buah negara yang ditandakan oleh sikap saling menghormati, kerjasama dan pertukaran kebudayaan.

    Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Al Kathiry ketika menyampaikan ucapan.

    Beliau juga menyatakan bahawa kedua-dua buah negara mempunyai nilai yang selari ketika kedua-dua negara menggariskan bagaimana nilai-nilai Islam membentuk masyarakat, memupuk rasa identiti dan kemasyarakatan yang amat kuat.

    Mengulas mengenai harapannya masa hadapan hubungan dua hala di antara Brunei dan Oman, PYT Erma Al Kathiry menyatakan dedikasi untuk meneroka peluang-peluang baharu yang akan mendalami dan memperkayakan lagi kerjasama di antara kedua-dua buah negara.

    Antara yang hadir di simposium berkenaan.

    Simposium berkenaan turut menyaksikan pembentangan daripada Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dan juga Penolong Penyelidik di Pusat Pengajian Oman, Sultan Qaboos Universiti, Dayang Tahani binti Abdullah bin Salim Al-Hosni.

    Pembentangan daripada Dr Haji Muhammad Hadi dan Dayang Tahani. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam pembentangannya, Dr Haji Muhammad Hadi menyelami ke dalam hubungan Oman-Brunei yang kaya dengan nilai sejarah meliputi pembangunan hubungan diplomatik sejak 1984 dengan mengetengahkan peristiwa dan mercu tanda signifikan yang membentuk kerjasama yang mementingkan sikap saling menghormati dan memahami.

    Sementara itu, dalam pembentangannya, Dayang Tahani menumpukan kepada hubungan kebudayaan di antara Brunei dan Oman, meneroka persamaan dalam tradisi dan nilai-nilai masyarakat. Tahani turut menggariskan pentingnya diplomasi kebudayaan dalam memperkukuhkan hubungan di antara kedua-dua buah negara berkenaan.

    Pembentangan itu memberikan peluang bagi perbincangan yang memupuk pertukaran idea mengenai bidang kerjasama berpotensi untuk diterokai bersama termasuk bidang pendidikan, kesenian dan pelancongan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda