Friday, March 31, 2023
23.2 C
Brunei

-

Simposium pupuk tabiat pulihara laut

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Dengan hasrat untuk memupuk tabiat yang baik bagi memulihara lautan yang lebih bersih, seramai 300 orang pelajar dari 25 buah sekolah rendah dan menengah termasuk pusat tingkatan enam di Negara Brunei Darussalam telah menyertai Simposium ASEAN-Jepun bagi Pendidikan Sisa Plastik Marin ke-2 yang dianjurkan oleh ASEAN-Japan Centre (AJC) secara maya, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, penyertaan pelajar dan guru dalam simposium secara maya itu diselaraskan oleh Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) di mana ia turut disertai oleh pegawai-pegawai dari Pusat STEP.

Sesi pertama simposium berkenaan iaitu Spreading the Light to Nurture Good Habits for Cleaner Oceans telah disertai oleh Pegawai Pelajaran Kanan dari Pusat STEP, Awang Misli bin Moksin selaku Project Partner ASEAN-Japan EcoSchool Programme dan ASEAN-Japan Centre Student Fellows dan Project Partner dari negara ASEAN dan Jepun.

Sesi kedua simposium bertajuk, Initiatives of the Young Generation in ASEAN-Japan to Reduce Marine Plastic Waste, telah diwakili oleh dua orang pelajar dari Sekolah Rendah Lumapas iaitu Awang Muhammad Faqeeh Rayyan bin Loqman dan Dayang Darwisyah Nabilah binti Jamel yang telah membuat rakaman video pembentangan mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh sekolah berkenaan iaitu penggunaan botol plastik sebagai dekorasi dan penggunaan semula sisa sampah untuk membuat robot.

Menerusi penyertaan mereka dalam simposium tersebut, para peserta berikrar untuk memupuk tabiat yang baik bagi memulihara lautan yang bersih. Ikrar itu menandakan komitmen bersama untuk mengubah tingkah laku dan menggalakkan usaha serta kesedaran bagi mengurangkan sisa plastik dalam kalangan belia di rantau ini.

Penyertaan pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam ke simposium itu adalah selaras dengan komitmen Kementerian Pendidikan terhadap Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) Strategi 10: Kesedaran dan Pendidikan.

Para pelajar Maktab Duli semasa menyertai simposium berkenaan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Otai impi meluncur ombak hingga usia 100

FUJISAWA, JEPUN, 30 MAC – Seorang warga emas membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti meluncur ombak. Seiichi Sano mula meluangkan...
- Advertisment -