Simposium terokai cabaran maritim

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dengan tema International Maritime Security Cooperation for Security, Peace and Prosperity, Simposium Keselamatan Maritim Antarabangsa (IMSS) ke-4 telah diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

Hadir mewakili Negara Brunei Darussalam dari Markas Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Muara, ialah Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry bin Haji Serudi @ Haji Seruji.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, simposium berkenaan telah dibuka rasmi oleh Ketua Staf Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), Laksamana Yudo Margono di Auditorium Yos Sudarso, Seskoal, Jakarta pada 23 Ogos lalu.

Simposium yang diadakan secara dalam talian dan fizikal itu telah dianjurkan oleh TNI-AL dengan tujuan untuk meneroka trend dan cabaran maritim terkini serta membina rangka kerja untuk menubuhkan kerjasama keselamatan maritim di pelbagai hala secara efektif di rantau ini.

Semasa simposium tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia, Lt Jen Muhammad Herindra telah menyampaikan ucaptama sekali gus pernyataan pembukaan IMSS 2021 selaku wakil menteri pertahanan Indonesia.

Simposium ini turut dihadiri oleh pemerintah-pemerintah tentera laut dari 54 buah negara, termasuk delegasi antarabangsa dan organisasi maritim antarabangsa.

Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry semasa menghadiri Simposium Keselamatan Maritim Antarabangsa ke-4 yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini. – Gambar serahan TNI-AL