Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinar baharu, semarakkan kegembiraan Aidilfitri di Syria

    DAMASCUS – Di sebuah taman permainan di kawasan perkampungan di ibu negara Syria, kelihatan sekumpulan kanak-kanak jelas sangat ceria dan tersenyum walaupun latarnya tidak membayangkan keadaan sebenarnya.

    Perkara ini jelas memperlihatkan sikap diri mereka yang sangat cekal walaupun terpaksa berhadapan dengan kemelut peperangan yang berlangsung di Syria selama tujuh tahun.

    Kebanyakan kanak-kanak ini menetap di Douma di Timur Ghouta yang dilahirkan sewaktu peperangan sedang hangat berlangsung namun terus cekal untuk menjalani kehidupan.

    Senyuman yang terpancar di riak wajah mereka jelas menggambarkan perasaan bahagia terutama untuk melalui fasa kehidupan yang lebih selamat selepas berakhirnya perjuangan pemberontakan di Douma pada April lalu.

    Warna terang pada pakaian yang mereka gayakan sangat kontras dengan keadaan sekeliling yang teruk musnah berikutan daripada kesan peperangan di mana mereka telah bersedia untuk memulakan kehidupan baru yang lebih terarah pada sudut positif.

    Keceriaan jelas terpancar di wajah kanak-kanak Syria dalam merujuk kepada suasana baru selepas berakhirnya peperangan yang berlarutan selama tujuh tahun. – Xinhua

    Taman permainan kecil yang direka khas ini dijangka dapat menceriakan kehidupan mereka di Aidilfitri ini walaupun hakikatnya persekitarannya masih dikelilingi dengan kemusnahan dan kereta yang terbakar kesan daripada peperangan lalu.

    “Tolak dengan lebih kuat supaya kami dapat mencapai kedudukan lebih tinggi,” jerit kanak-kanak itu ketika menaiki buaian berbentuk bot sambil memperlihatkan riak wajah riang gembira di samping ikatan juga turut diperkuatkan demi memastikan tahap keselamatan berada dalam keadaan terjamin ketika bermain permainan tersebut.

    Walaupun keadaan persekitaran di Douma jelas kelihatan kurang mengizinkan namun anak-anak yang tidak berdosa ini setentunya berhak untuk menjalani kehidupan bahagia pada tahap maksimum serta tidak wajar untuk dibayangi oleh peristiwa hitam.

    “Suasana sambutan Aidilfitri pada tahun ini adalah seribu atau sejuta kali lebih baik berbanding pada tahun lalu,” jelas salah seorang kanak-kanak bernama Muhammad kepada Xinhua dalam merujuk kepada keadaan Douma pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pertama yang mula disambut pada Jumaat lalu sekali gus menandakan berakhirnya ibadah puasa di bulan Ramadan bagi umat Islam.

    Rakannya, Salem turut mengongsikan bahawa kehidupan sewaktu era pemberontakan itu jelas sangat sulit dan penuh dengan penderitaan.

    “Suasana Aidilfitri pada tahun ini seribu kali lebih baik berbanding pada tahun lalu ketika negara dipenuhi dengan pemberontakan dan untuk menaiki buaian ketika itu juga sangat sukar berikutan daripada kadar bayaran setinggi 300 paun Syria dikenakan berbanding kini hanya serendah 25 paun Syria,” jelas Salem.

    Di taman permainan lain di Douma, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan bernama Salma berusia tujuh tahun jelas menikmati kebahagiaan yang tidak pernah dirasakannya sejak perang tercetus di Syria.

    “Tahun ini merupakan kali pertama saya menikmati erti sebenar sambutan Aidilfitri dan berasa sangat gembira kerana berpeluang untuk meraikannya tanpa sebarang perasaan takut,” jelas Salma yang kelihatan sangat ceria memegang papan luncurnya yang berwarna merah jambu.

    Falafel yang menjadi hidangan tradisi di Syria turut dihidangkan kepada kanak-kanak demi mengembalikan semula nostalgia keenakan makanan tersebut. – Xinhua

    Ayahnya, Muwafaq al-Matouki, 35 tahun kelihatan lebih tua berbanding usia sebenarnya dipercayai kesan kemurungan daripada peperangan yang berlangsung secara berlanjutan namun tetap setia untuk menemani anak perempuannya itu bermain.

    Muwafaq juga turut menjelaskan bahawa ini adalah merupakan kali pertama bagi dirinya untuk berpeluang untuk meraikan suasana Aidilfitri dengan lebih meriah berbanding sebelumnya.

    “Selama tujuh tahun kami menderita kesan daripada peperangan yang berlarutan sehingga membataskan bekalan pakaian dan makanan serta langsung tidak memberikan peluang kepada kami untuk meraikan Aidilfitri sebagaimana yang kami raikan pada tahun ini,” kata Muwafaq.

    Jamal al-Shughry pula kelihatan cukup bersemangat menyediakan sandwich falafel untuk kanak-kanak yang bermain di kawasan taman permainan itu.

    Beliau menjelaskan bahawa kanak-kanak memang sangat menggemari falafel dan kali ini juga merupakan kali pertama bagi kebanyakan mereka berpeluang untuk menikmatinya susulan daripada berakhirnya kemelut peperangan.

    “Tahun lalu, keceriaan memang tidak dapat dapat disaksikan pada wajah comel kanak-kanak ini malah falafel yang biasanya diperbuat daripada soya dan tepung gandum hanya dapat dihasilkan dengan menggunakan habuk padi dan barli berikutan daripada kos harga makanan yang agak tinggi ketika itu,” jelasnya.

    Selaku seorang pembuat falafel setentunya dia turut mengakui agak merindui akan keenakan rasa makanan tersebut dan telah mengambil peluang untuk mengongsikan nikmat rasanya yang sebenar bersama dengan rakan-rakan.

    “Pada tahun ini, saya telah menerangkan kepada kanak-kanak itu bahawa inilah rasa sebenar keenakan falafel sebagaimana yang pernah dihidangkan tujuh tahun lalu,” jelasnya.

    Justeru inilah suasana sambutan Aidilfitri di Douma yang sebahagiannya terjejas kesan daripada peperangan yang di mana ia secara tidak langsung turut mempengaruhi beberapa kawasan lain di Damsyik termasuk individu yang masih berada di bawah kawalan kerajaan.

    Situasi nyata berbeza selepas tentera Syria telah mengisytiharkan bahawa seluruh kawasan ibu negara dan kawasan pedalamannya kini berada dalam keadaan selamat setelah berakhirnya era pemberontakan dan peperangan yang berlarutan selama tujuh tahun. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda