Sinar harapan buat kucing lumpuh, Kitty

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, biarpun hanya kucing jalanan namun hati siapa tidak tersentuh melihat pergerakan haiwan itu yang terbatas dan hanya mengesot akibat kedua-dua kaki belakangnya lumpuh.

“Haiwan juga makhluk ciptaan Allah. Ia juga memiliki hati dan perasaan. Apabila melihat kecederaan yang dialaminya pada bahagian saraf tunjang akibat digigit seekor anjing ketika abang saya membawa pulang ke rumah 10 bulan lalu, sungguh hati ini begitu sedih melihat keadaannya yang tidak berupaya berjalan dengan sempurna seperti kucing-kucing peliharaan saya yang lain,” luahan pilu insan pencinta kucing, Dayang Nurul Afizah binti Ahmad semasa mengongsi detik-detik pertemuannya dengan kucing betina yang mengalami kelumpuhan pada bahagian kaki belakangnya, berusia dua tahun kepada penulis.

Jelas Dayang Nurul Afizah lagi, kucing yang diberi nama Kitty itu turut dikenakan lampin pakai buang disebabkan sistem perkumuhannya tidak boleh dikawal dan melihat keadaannya yang tidak sempurna itu, namun Kitty ini tetap istimewa di hatinya sehingga gelagatnya pula mampu mencuit hati mereka sekeluarga ketika bersantai.

Rezeki tidak pernah salah alamat

Kini, Kitty sudah memiliki kerusi rodanya dalam meniti kehidupan hariannya. Menurut Dayang Nurul Afizah, pertemuannya bersama Basma Bassam Bishawi, seorang insan berhati mulia ini yang telah lama bekerja di negara ini sememangnya pencetus ‘sinar’ kehidupan baharu kepada kucingnya yang lumpuh separuh badan itu yang mana Basma telah memberikan kerusi roda hasil cetusan ideanya kepada Kitty.

Sememangnya, terdetiknya ilham untuk menghasilkan sebuah kerusi roda itu apabila Basma yang sebelumnya juga memiliki seekor anak kucing yang berusia tiga minggu yang mengalami kelumpuhan keempat-empat kakinya akibat kemalangan setelah disahkan dalam pemeriksaan intensif di klinik haiwan.

Kerusi roda yang diperbuat daripada PVC dan roda-roda khas diperkukuhkan lagi dengan stress jacket itu sememangnya pencetus ‘sinar’ kehidupan baharu kepada Kitty yang lumpuh separuh badan untuk kembali lincah.
Dayang Nurul Afizah (kanan) bersama Basma (dua kiri) dan tiga ahli lainnya, Dayang Nordiyana (kiri belakang) dan Haji Mohd Hazwan Wafiy (kanan belakang) serta Charlotte (duduk, dua dari kanan) bergambar ramai bersama Kitty yang menggunakan kerusi roda dibuat oleh ahli kumpulan itu.
Kitty yang lumpuh kaki belakang dan terpaksa dipakaikan lampin pakai buang kerana sukar mengawal perkumuhannya, tetap istimewa di hati pemiliknya.

Berbekalkan impian besar untuk melihat anak kucing yang diberi nama Lucky itu mampu berjalan, maka tercetusnya idea Basma untuk membina sebuah kerusi roda khusus untuk kucing kurang upaya.

Lebih memilukan, hasrat Basma tidak tercapai apabila Lucky telah mati dan namun niat suci beliau untuk mening-katkan kesedaran mengenai perlin-dungan terhadap haiwan kurang upaya mahu pun terbiar tidak terhenti begitu sahaja sehingga akhirnya bertemu dengan pemilik si comel Kitty melalui perantaraan seorang sahabat pada ketika itu.

“Rezeki itu tidak pernah salah alamat. Kini saya bersyukur Kitty sudah memiliki kerusi roda untuknya.

Melihatnya kembali kuat suatu ke-gembiraan di hati kami untuk memberikan sebuah harapan untuk terus hidup sama seperti kucing lain,” ucap Dayang Nurul Afizah dengan nada penuh kesyukuran.

Kerusi roda daripada paip PVC

Ciptaan kerusi roda yang diperbuat daripada bahan asas menggunakan paip Polyvinyl Chloride (PVC) dan roda-roda khas itu telah berjaya dihasilkan dengan bantuan dua orang ahli yang mahir dalam bidang seni pertukangan tangan dan seni jahitan, Dayang Nordiyana binti Haji Abdullah dan Haji Mohd Hazwan Wafiy bin Haji Mohd Said.

Manakala rekaan stress jacket meliputi sukatannya direka oleh Charlotte Louise Crabtree Correia.

Semasa ditemui, Basma menyatakan bahawa segala ilmu rekaan kerusi roda ini bersama ahli kumpulan sememangnya berdasarkan beberapa kajian yang diperoleh menerusi internet bermula dua bulan lepas.

“Percubaan demi percubaan telah kami lakukan, Alhamdulillah kami berjaya menghasilkan kerusi roda ini. Suatu kegembiraan dan kepuasan di hati kami dapat menyaksikan peralatan ini dapat membantu Kitty ke arah gaya hidup yang lebih sihat dan aktif daripada segi pergerakannya, di samping mewujudkan keringanan beban kepada pemiliknya yang secara tidak langsung kemudahan ini menjadi sebagai daripada proses pemulihan untuk menguatkan kaki belakang Kitty.

Siapa tahu suatu hari nanti dengan izinNya jua, Kitty dapat berjalan dengan sendiri tanpa bantuan kerusi roda,” tambahnya lagi penuh ketulusan.

Kesedaran Tanggungjawab Bersama

Sehubungan dengan itu, Basma turut merakamkan harapan dengan adanya ciptaan kerusi roda untuk haiwan sebegini, ia dapat membuka minda semua pihak untuk meningkatkan kesedaran bahawa haiwan yang memiliki kekurangan sememangnya memerlukan kita sebagai manusia untuk melindunginya.

“Biarlah ia hidup seperti kehidupan haiwan biasa dalam persekitaran yang berkualiti. Menjadi harapan kami semua untuk menjadikan projek ini lebih membesar lagi di mata masyarakat di negara ini.

“Dengan adanya sokongan dari agensi-agensi tertentu meliputi para perubatan haiwan untuk mengetengahkan pengetahuan ini menerusi pelbagai rekaan kerusi roda untuk membantu masalah haiwan kurang upaya ini secara tidak langsung ia dapat mendidik kita akan kasih sayang terhadap haiwan.

“Dengan langkah pertama terciptanya kerusi roda untuk si comel Kitty ini, saya berharap ia menjadi pencetus idea yang lain untuk menghasilkan rekaan-rekaan yang lebih mantap bukan hanya untuk kucing bahkan juga haiwan-haiwan lain seperti untuk anjing atau burung yang memiliki kecederaan anggota agar mereka juga dapat merasai nikmatnya kehidupan seperti haiwan biasa,” tegasnya dengan penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.