Sinar harapan buat penduduk Palestin

KHAN YOUNIS – Mansour al- Masri telah menghabiskan waktunya terbaring di atas katil selama hampir dua tahun, sebatang besi menonjol melalui pembalut yang membungkus bahagian bawah kakinya.

Kejadian tembakan pada Mei 2018 telah mengakibatkan keretakan tulang pada bahagian kaki kiri beliau, sejak itu, tukang besi yang berusia 24 tahun tersebut telah menjalani 18 pembedahan. Beliau semakin berupaya untuk berjalan walaupun lemah sebelum kembali semula ke hospital.

Beliau merasa ketakutan kerana khuatir beliau akan tergolong dalam 158 orang warga Palestin telah dipotong kaki selepas mengalami kecederaan semasa menyertai protes di sempadan Israel.

Pada Hari Khamis lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan setempat memberikan sedikit harapan, melalui perasmian pusat penstrukturan semula anggota badan di Gaza, di mana ia bertujuan untuk memberikan mereka yang tercedera dengan penjagaan yang khusus dan pusat penjagaan yang disatukan.

“Ini merupakan kali saya memasuki pusat seperti ini dan saya merasakan semuanya berjalan dengan baik,” kata al-Masri, yang menerima rawatan di pusat penjagaan sejak ia mula beroperasi tiga minggu yang lalu.

Dr Gerald Rockenschaub, Pengarah WHO di kawasan Palestin, (kiri), mendengar penerangan doktor mengenai kondisi Mansour al-Masri (Kanan) yang sedang menerima rawatan di Pusat Penstrukturan Anggota Badan di Hospita Nasser. – AP
Pesakit yang menerima rawatan di Pusat Penstrukturan Anggota Badan di Hospital Nasser di bandar Khan Younis, Selatan Jalur Gaza. – AP
Pusat Penstrukturan Anggota Badan diharap dapat mengurangkan kadar amputasi dan kecacatan jangka masa panjang bagi penduduk Palestin. – AP

Al-Masri adalah salah seorang dari ribuan penunjuk perasaan yang ditembak oleh tentera Israel semasa bantahan setiap minggu selama 20 bulan di sepanjang pagar yang memisahkan Jalur Gaza dari Israel.

Gaza yang dikuasai oleh Hamas telah melancarkan bantahan pada Mac 2018 untuk menekan Israel daripada sekatan yang dikenakan dengan sokongan Mesir sejak kumpulan pemisah tersebut mengambil alih kuasa pada tahun 2007.

Semasa bantahan tersebut, tentera Israel telah menembak serta membunuh seramai 215 orang penduduk Palestin, yang kebanyakan mereka tidak bersenjata, dan seorang penembak hendap Palestin telah berjaya membunuh seorang askar Israel.

Israel berkata ia mempertahankan sempadan mereka daripada penunjuk perasaan yang telah meledakkan bahan letupan, membakar tayar di sepanjang sempadan dan cuba untuk memotong pagar keselamatan untuk memasuki Israel. Tetapi tindakan tersebut telah menarik perhatian dan kritikan antarabangsa dan dituduh menggunakan kuasa yang berlebihan disebabkan angka korban yang tinggi dan sebilangan besar orang yang tidak bersenjata telah tercedera.

Secara keseluruhan, kira-kira 8,000 orang telah mengalami kecederaan daripada kesan tembakan, menindas sistem penjagaan kesihatan di Gaza. Pihak berkuasa kesihatan telah merayu untuk menerima bantuan untuk merawat jumlah pesakit yang meningkat, terutama mereka yang menerima tembakan di anggota badan, untuk mengurangkan jumlah kecacatan dan amputasi. Kecederaan yang sukar dirawat ini akan mengambil masa selama dua tahun untuk tindakan dan rawatan susulan, dengan tulang, otot tisu lembut dan pembedahan saraf. Jangkitan tulang yang serius adalah perkara biasa dengan tanda-tanda rintangan antibiotik.

Pusat penjagaan anggota badan yang baharu, dibina oleh WHO yang bekerjasama dengan Menteri Kesihatan di bawah Hamas, ini terletak di kompleks kesihatan Nasser di bahagian Selatan bandar Khan Younis.

Kawasan tersebut sebelum ini telah dijadikan sebagai kem untuk para pembantah sebelum Hamas menghentikan demonstrasi tersebut pada awal tahun tersebut. Wad yang mengandungi 32 buah katil, dua buah bilik pembedahan dan 25 orang kakitangan.

Walaupun Hamas telah digelar sebagai pengganas oleh Israel, Amerika Syarikat dan Barat, WHO berkata mereka terpaksa bekerjasama dengan ‘pihak berkuasa tempatan’ untuk melancarkan pusat tersebut.

Dr. Gerald Rockenschaub, Pengarah WHO di kawasan Palestin, memberitahu bahawa pusat tersebut ‘terlalu lambat’ untuk mereka yang sudah kehilangan anggota kaki mereka, tetapi terdapat kira-kira 600 orang pesakit yang masih memerlukan pembedahan semula anggota badan dan beratus-ratus masih menunggu untuk diperiksa.

“Apa yang kami ingin capai dengan unit ini ialah mengurangkan kadar amputasi, untuk melihat tiada lagi kecacatan jangka masa panjang,” katanya.

Pesakit mengadu bahawa hospital tersebut kekurangan bekalan dan tidak menyediakan rawatan yang betul, mendalam dan mencukupi.

Dr. Mahmoud Matar, Ketua bahagian pembedahan di Kementerian Kesihatan, berkata jenis kecederaan kesan tembakan seperti ini kebiasaannya memerlukan empat pembedahan dan kementerian telah menjalankan sebanyak 4,000 pembedahan sepertinya dalam dua tahun kebelakangan, meskipun kekurangan peralatan dan kelengkapan. Beliau berkata 25 ke 30 peratus kes berakhir dengan amputasi.

Bagi penduduk Palestin yang tercedera seperti al-Masri, pusat kesihatan ini akan memberikan harapan buat mereka dengan kadar pemulihan semakin meningkat.

“Saya berharap saya akan kembali berjalan seperti biasa,” beliau berkata. – AP