Sinaran cahaya biru hargai petugas barisan depan

KUALA LUMPUR, 1 MEI – Sinaran cahaya biru menerangi tiga lokasi strategik di Istana Negara di waktu malam sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan  negara memerangi wabak COVID-19.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Istana Negara menyertai kempen ‘Limpahan Lampu Biru’ yang diadakan mulai 30 April sehingga 3 Mei dari 10:30 malam hingga 1 pagi melibatkan bangunan-bangunan ikonik di ibu negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga berkenan meluangkan masa selama 30 minit malam tadi berangkat menyaksikan penyalaan cahaya biru berkenaan di perkarangan Istana Negara. – Bernama