KUALA LUMPUR, 9 NOV – Polis menahan seorang lelaki dan dua wanita tempatan kerana disyaki terlibat mencuri dan menjual semula beg tangan berjenama mewah yang dilarikan dari sebuah premis di ibu negara, pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kejadian itu berlaku di sebuah premis di Solaris Dutamas di sini, pada 10:07 malam, 1 Nov lepas dan polis menerima laporan berhubung kehilangan beg-beg berkenaan pada 4 November.
Beliau berkata dalam kejadian berkenaan, suspek telah mencuri empat beg tangan iaitu dua berjenama Chanel dan masing-masing satu jenama Hermes dan Louis Vuitton dengan nilai kerugian dianggar RM145,288.
“Bertindak atas risikan yang dijalankan, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Salak Selatan dan menahan tiga individu berusia lingkungan 28 hingga 30 tahun.
“Pihak polis merampas beg tangan Louis Vuitton, dua keping resit, sepasang pakaian dipakai suspek sewaktu kejadian dan wang tunai berjumlah RM22,300 dipercayai hasil jualan semula beg-beg yang dicuri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, polis turut menyerbu dua premis di Bukit Bintang yang disyaki membeli beg dijual suspek dan merampas tiga beg yang dicuri berserta dua keping resit pembelian tertera nama suspek. – Bernama