Sindiket curi susu tumpas

SYDNEY, 21 Jan – Seramai enam orang telah ditahan selepas pihak berkuasa Australia membongkar sindiket mencuri susu formula dan vitamin anak damit daripada peruncit utama di seluruh Sydney untuk dihantar ke China, menurut polis tempatan hari ini.

Empat anggota daripada sebuah keluarga dan dua lelaki lain telah ditahan dan didakwa sebagai ‘kumpulan jenayah terancang’ di mana Polis New South Wales (NSW) percaya mereka telah beroperasi selama beberapa tahun.

“Kami fikir ini adalah kumpulan jenayah yang luas yang mengeksploitasi pasaran luar negara,” menurut Penguasa Polis NSW, Danny Doherty kepada wartawan di Sydney.

Doherty berkata penyiasat masih menjalani siasatan mengenai produk-produk yang sudah terjual, namun mendakwa setakat ini, ‘beribu-ribu penghantaran susu formula dihantar ke China’.

Susu formula anak damit premium, vitamin dan madu dari Australia sangat laris dan mendapat permintaan tinggi di China, di mana para pengguna di sana risau mengenai standard keselamatan makanan yang mengakibatkan kematian dan menjejaskan kesihatan.

Siasatan itu bermula pada bulan Februari tahun lepas selepas polis menerima laporan mangsa curi daripada peruncit di Sydney. Penyiasat berkata mereka menjalani siasatan ke atas dua rumah di Sydney pada bulan Ogos dan merampas 4,000 tin susu formula, ‘sejumlah besar’ vitamin, madu Manuka serta lebih dari AUS$215,000 (AS$154,000) dalam bentuk wang tunai. – AFP