THE HAGUE, 3 MEI – Tindakan keras beberapa benua telah menumpaskan pasaran ‘rangkaian siber gelap’ utama, dengan polis antarabangsa menahan 288 suspek dan memperoleh lebih daripada 50 juta euro (AS$54.8 juta) berupa wang tunai dan mata wang maya, kata Europol hari ini.
Operasi bersama yang dipanggil SpecTor oleh penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat (AS), Britain, Brazil dan Eropah itu juga merampas hampir satu tan dadah dan 117 senjata api, kata agensi kepolisan Eropah.
“Dalam operasi yang diselaraskan oleh Europol dan melibatkan sembilan negara, penguatkuasa undang-undang telah merampas pasaran siber gelap haram ‘Pasaran Monopoli’ dan menahan 288 suspek yang terlibat dalam membeli atau menjual dadah di laman sesawang gelap,” kata Europol yang berpangkalan di Hague dalam satu kenyataan.
“Beberapa suspek tersebut dianggap sebagai sasaran bernilai tinggi,” kata Europol.
Tangkapan terbesar datang dari AS dengan 153 suspek, Britain 55, Jerman 52 dan Belanda 10.
Polis mendapat kembali 50.8 juta euro (AS$53.4 juta) wang tunai dan mata wang maya serta merampas 850 kilogram dadah, kebanyakannya terdiri daripada amfetamin, kata Europol.
Polis turut merampas 43kg kokain, 43kg dadah MDMA dan lebih 10kg LSD dan pil ekstasi. – AFP