Sindiket mercun terbesar tumpas

BATU PAHAT, 30 Jan – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan mercun dan bunga api yang melibatkan rampasan terbesar di negara ini bernilai RM1.6 juta di Yong Peng, dekat Batu Pahat, Isnin lepas.

Komander PPM Bukit Aman SAC Mohd Yusoff Mamat berkata rampasan di Yong Peng itu melibatkan dua premis kediaman, dengan serbuan pertama dilakukan pada pukul 10 pagi di sebuah rumah banglo manakala serbuan kedua pula pada pukul 4 petang di sebuah rumah teres.

Beliau berkata serbuan pertama di Jalan Ann Moh Sam dilakukan susulan pemantauan selama lima jam yang membawa kepada penemuan 410 kotak mercun pelbagai jenis dengan anggaran nilai RM1.2 juta.

“Turut ditahan dalam serbuan berkenaan ialah seorang wanita berusia 37 tahun yang mengaku kesemua barangan berkenaan adalah miliknya dan dia kini ditahan reman sehingga Jumaat untuk siasatan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini. Turut hadir Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, di sini hari ini.

Menurut Mohd Yusoff lagi, dalam serbuan kedua di Taman Selatan, dekat sini, pihaknya turut menemukan 119 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM400,000 namun tiada tangkapan dilakukan. – Bernama