Sindiket pelacuran, penipuan kripto ditumpaskan

KUALA LUMPUR, 18 OKT – Polis menumpaskan sindiket yang disyaki terbabit dengan aktiviti mempromosi pelacuran, penipuan dan urus niaga mata wang kripto untuk pasaran di China, dalam serbuan di Cheras di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata hasil serbuan tersebut, pihaknya merampas wang tunai kira-kira RM2.5 juta di dalam beberapa beg pakaian di sebuah kediaman mewah di Jalan Desa Bukit Tiara, Cheras.

Beliau berkata lapan individu terdiri daripada enam warga China serta dua rakyat tempatan berumur antara 22 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan wang tunai berjumlah kira-kira RM2.5 juta yang diletakkan di dalam beg pakaian di beberapa bilik. Komputer riba, telefon bimbit dan sejumlah dadah sintetik turut dirampas,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Cheras, malam tadi.

Huzir berkata serbuan itu dibuat susulan operasi awal sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman di sebuah kondominium di Kajang, Selangor kira-kira 2 petang semalam.

Menurutnya, dalam serbuan itu tujuh lelaki dan seorang wanita warga China berusia 21 hingga 28 tahun ditahan, dan komputer riba, telefon bimbit serta kertas catatan jadual harian sindiket turut dirampas. – Bernama

Datuk Huzir Mohamed (kanan) menunjukkan sebahagian wang tunai kira-kira RM2.5 juta yang dirampas di sebuah rumah mewah di Cheras. – Bernama