Sindiket pemalsuan permit kerja tumpas

SHAH ALAM, 11 OKT – Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan permit kerja warga asing dengan menahan 17 individu termasuk dua dalangnya dalam 11 serbuan di sekitar Klang serta Shah Alam pada Selasa dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor ACP Fazlisyam Abd Majid berkata tangkapan itu terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan berketurunan Pakistan, seorang wanita tempatan, tujuh lelaki warga Pakistan dan lapan lelaki warga Bangladesh.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket tersebut aktif sejak setahun lepas dan berselindung di sebalik perniagaan membekalkan pekerja asing yang sah di Klang, dijalankan oleh dalangnya iaitu lelaki tempatan berumur 32 tahun dengan seorang warga Pakistan tanpa pasport.

“Modus operandi sindiket ini adalah mereka akan mencari pekerja warga asing dari India, Bangladesh dan Pakistan yang tidak mempunyai permit kerja untuk ditawarkan permit kerja palsu. Dengan permit palsu itu, warga asing berkenaan akan ditawarkan kepada majikan untuk diambil bekerja di sekitar Selangor.”

Katanya, sindiket berkenaan mengenakan caj sebanyak RM400 bagi satu permit kerja palsu dan mereka dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM5,000 sebulan untuk kegiatan tersebut.

Kesemua tangkapan berumur 19 hingga 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana lapan suspek direman sehingga esok manakala selebihnya akan dipohon reman di Mahkamah Klang juga esok bagi membantu siasatan. – Bernama

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor ACP Fazlisyam Abd Majid menunjukkan gambar suspek sindiket pemalsuan permit kerja warga asing pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kelmarin. – Bernama