Sindiket seludup migran berjaya ditumpaskan

SOFIA, 25 JUN – Pihak berkuasa Bulgaria telah menumpaskan satu sindiket jenayah terancang besar yang dipercayai menyeludup beribu-ribu penghijrah dari Afghanistan dalam perjalanan ke barat Eropah, kata pendakwa hari ini.

Geng itu menyeludup migran, terutamanya budak lelaki di bawah umur 16 tahun, di sungai Maritsa yang bersempadan dengan Turki dan membantu mereka menyeberang menerusi hutan ke Serbia, beritahu pendakwa Siyka Mileva kepada wartawan. Sementara pihak berkuasa belum memberikan jumlah sebenar orang yang diseludup, mereka percaya geng itu aktif sejak awal 2017 dan Mileva berkata ‘terdapat pemindahan setiap minggu’ dalam kumpulan ’30-40 orang pada satu masa.’

Pada keseluruhannya, lapan lelaki telah didakwa: seorang lelaki Iraq didakwa menjadi ketua sindiket, seorang warga Syria, empat warga Afghan dan dua warga Bulgaria.

Mereka ditahan semalam dalam beberapa siri serbuan di ibu negara Sofia dan rantau tenggara Burgas dan Yambol, kata Mileva.

Bercakap selepas serbuan, penolong ketua pendakwa Ivan Geshev berkata setakat ini ia ‘adalah kumpulan terbesar untuk penyeludupan migran menerusi Bulgaria’ dengan tahap pengendalian yang menjadikannya kelihatan seperti ‘sebuah syarikat untuk penyeludupan migran.’

Penghijrah membayar di antara 8,000 dan 10,000 euro setiap seorang menerusi sistem ‘hawala’, rangkaian pemindahan wang tidak formal yang dijalankan menerusi transaksi peribadi yang lebih sukar dijejaki berbanding pemindahan bank. – AFP