Sindiket watikah, pingat darjah palsu tumpas

MELAKA, 11 OGOS – Sindiket terbesar penjualan dan pemalsuan watikah serta pingat darjah kebesaran negeri Melaka, yang membawa gelaran datuk dan datuk seri serta watikah Jaksa Pendamai Melaka akhirnya tumpas, selepas dua dalang dan 32 individu ditahan Polis Kontinjen Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kesemua suspek ditahan dalam beberapa siri serbuan menerusi operasi khas bermula 22 Februari hingga 29 Mac lepas di sekitar Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan itu berusia lingkungan 26 hingga 70 tahun dipercayai terlibat sebagai dalang utama, orang tengah dan pembeli watikah, pingat serta bintang palsu darjah kebesaran Melaka, yang ditawarkan dengan harga antara RM50,000 hingga RM100,000.

“Serbuan ini berdasarkan maklumat awal daripada orang awam mengenai aktiviti yang dijalankan sindiket yang didalangi dua lelaki berusia 40an, yang dipercayai menjalankan kegiatannya sejak pertengahan tahun lepas, selain dibantu beberapa orang tengah yang berperanan sebagai pempromosi dan penjual. – Bernama

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali (kanan) dan Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali menunjukkan lambang (emblem) kereta palsu yang dirampas pada sidang media di Seri Negeri Ayer Keroh, kelmarin. – Bernama