Singapore Airlines nafi kamera intip penumpang

SINGAPURA, 21 Feb – Singapore Airlines hari ini menegaskan bahawa kamera pada sistem hiburan pesawatnya telah ditutup selepas bantahan dalam talian daripada seorang penumpang yang bimbang melihat lensa kecil pada kamera tersebut mengintip mereka.

Seorang pengembara menulis isu ini di dalam Twitter dan media sosial lain untuk meningkatkan kewaspadaan terhadap kamera di bahagian bawah skrin kerusi belakang pada beberapa pesawat baharu syarikat penerbangan Singapura.

“Saya baru sahaja mendapati alat yang terdapat di bahagian belakang tempat duduk penumpang dalam pesawat ini seperti memerhatikan saya. Adakah terdapat pandangan pakar untuk mengesahkan ianya adalah kamera? Tweet seorang penumpang Vitaly Kamluk.

Tweetnya disertai dengan gambar monitor dengan kamera tersebut.

Seorang lagi penumpang menggesa syarikat penerbangan itu dalam tweet untuk ‘memberitahu semua penumpang dan mendapatkan persetujuan mereka, terutama penduduk EU mengenai tindakan tersebut, mengapa anda melakukannya, apa yang anda lakukan dengan data dan berapa lama anda menyimpannya.’

Syarikat penerbangan itu mengesahkan bahawa beberapa sistem hiburan yang terkini mempunyai kamera tetap, tetapi penumpang yakin bahawa ianya telah ditutup.

“Kamera-kamera ini telah dicadangkan oleh para pengeluar untuk perkembangan masa depan. Kamera-kamera ini telah ditutup secara kekal di dalam pesawat kami dan tidak boleh diaktifkan di atas kapal,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

“Kami tidak mempunyai rancangan untuk membolehkan atau membangunkan sebarang ciri penggunaan kamera.” – AFP