Singapura: 4 rakyat Malaysia antara 25 kes baharu

SINGAPURA, 12 MEI – Empat rakyat Malaysia antara 25 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di sini, kelmarin, menurut Kementerian Kesihatan Singapura.

Memetik data dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu berkata dua daripadanya berkaitan dengan kluster Kes 62873, seorang tukang cuci berusia 88 tahun di Terminal 3 Bandara Changi, yang disahkan positif pada 5 Mei.

Seorang lagi disahkan positif varian B1617 menerusi ujian saringan awal dan kini menunggu keputusan ujian selanjutnya, kata kementerian itu.

Setakat ini, kluster itu mempunyai 18 kes, kesemuanya membabitkan pekerja di Terminal 1 atau Terminal 3 Changi.

Sementara itu, dua lagi kes melibatkan rakyat Malaysia, seorang daripadanya bekerja sebagai juruteknik di Ng Teng Fong General Hospital, dikategorikan tidak berkait dengan kluster berkenaan. – Bernama