Singapura atur rancangan pembukaan semula

SINGAPURA, 18 JUN – Singapura mengemaskini rancangan pembukaan semula untuk kegiatan ekonomi dan sosialnya kerana peningkatan berterusan kes jangkitan komuniti baharu dalam negara, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai COVID-19 hari ini.

Antara lain, aktiviti berisiko tinggi seperti makan di kedai Makanan & Minuman (F&B), sukan dan bersenam di kemudahan tertutup hanya akan dibenarkan dalam saiz kumpulan sehingga dua orang mulai 21 Jun, berbanding lima orang seperti yang diumumkan sebelum ini.

MTF sebelum ini telah mengumumkan pembukaan semula ke Tahap 3 bermula dengan Tahap 1 pada 14 Jun 2021, dan pembukaan tahap 2 pada 21 Jun 2021.

Pengerusi bersama MTF, Gan Kim Yong mengatakan Pasukan Petugas telah memutuskan untuk meneruskan aktiviti yang akan bermula pada Isnin.

“Makan malam masih dibenarkan mulai hari Isnin, tetapi hanya terhad kepada dua orang,” kata Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu pada sidang media maya di sini.

Gan berkata berdasarkan keadaan dan perkembangan pandemik yang tidak dapat dijangka, MTF akan meningkatkan had kumpulan untuk aktiviti makan di premis dengan aktiviti di tempat tertutup akan dibenarkan kepada lima orang dari pertengahan Julai.

“Ini adalah pendekatan yang lebih berhati-hati untuk meminimumkan risiko lonjakan kes dan pembentukan kelompok besar,” katanya.

MTF juga mengumumkan pendekatan bekerja dari rumah akan tetap dilaksanakan bagi mengawal risiko jangkitan dengan mengurangkan interaksi keseluruhan di tempat kerja dan di tempat awam termasuk pengangkutan awam. – Bernama

Gambar bertarikh 14 Jun menunjukkan orang awam duduk bersebelahan sebuah kolam di luar pusat membeli belah Marina Bay Shoppes di Singapura.Singapura mengemaskini rancangan pembukaan semula untuk kegiatan ekonomi dan sosialnya kerana peningkatan berterusan jangkitan komuniti baharu dalam negara. – AFP