Singapura bangun robot pembasmi kuman

SINGAPURA, 17 APRIL – Penyelidik Singapura telah mencipta robot pembasmi kuman dengan lengan yang meniru pergerakan manusia, untuk membantu melepaskan beban pembersih yang terlalu banyak bekerja semasa pandemik koronavirus ini.

‘XDBOT’ adalah ciptaan berbentuk kotak pada roda yang dipasang dengan anggota robot, yang dapat membersihkan tempat-tempat yang sukar dicapai seperti di bawah meja dan tempat tidur.

Robot itu, yang dibangunkan oleh para penyelidik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) negara itu, berkemampuan untuk membuat semburan pembasmi kuman dan dapat membersihkan kawasan yang luas dengan cepat.

Alat ini dapat dikendalikan dari jarak jauh dengan komputer riba atau tablet, mengurangkan risiko pembersih dijangkiti virus, yang telah membunuh lebih daripada 140,000 orang di seluruh dunia.

“Dengan menggunakan robot baharu kami dari jarak jauh, pengendali manusia dapat mengawal proses pembasmian kuman dengan tepat… dengan sentuhan sifar ke atas permukaan,” kata Chen I-Ming, seorang saintis NTU yang mengetuai projek itu.

Alat ini dapat dikendalikan dari jarak jauh dengan komputer riba atau tablet, mengurangkan risiko pembersih daripada dijangkiti virus. – AFP

Robot pembersih ini berbeza daripada yang lain dalam pasaran, terutamanya yang bertujuan membersihkan permukaan lantai dan membasmi kuman.

Robot ini dapat membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Singapura untuk perkhidmatan pembersihan dan pembasmian kuman secara lebih berkesan, dengan laporan yang menunjukkan bahawa pembersih perlu bekerja berjam-jam semasa wabak tersebut.

XDBOT telah diuji cuba di kampus NTU, dan penciptanya berharap dapat mengujinya secara lebih kerap di kawasan awam dan hospital.

Singapura menghadapi gelombang jangkitan kedua yang bergerak pantas, dengan angka kes meningkat 728 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan kepada 4,427, termasuk 10 kematian.

Dari Thailand ke Israel, robot semakin banyak digunakan dalam memerangi koronavirus, kerana sifatnya yang cepat, cekap dan tidak akan terjangkiti dengan virus. – AFP