Singapura catat 1,016 lagi kes baharu COVID-19

SINGAPURA, 22 APRIL – Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura awal hari ini mengesahkan tambahan 1,016 kes jangkitan COVID-19 menjadikan jumlahnya 10,168 kes.

Menurut kementerian itu, majoriti besar adalah mereka dalam kalangan pemegang permit kerja yang mendiami asrama pekerja asing manakala 15 kes membabitkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

“Kami masih meneliti butiran kes berkenaan dan butiran lanjut akan dikongsi menerusi kenyataan akhbar MOH yang akan dikeluarkan pada malam ini,” menurut kenyataannya di sini.

Sehingga tengah hari 21 April, Singapura mengklasifikasikan 7,127 kes dari penghuni asrama, 370 melibatkan pemegang permit kerja yang tidak mendiami asrama, 1,059 kes komuniti dan 569 lagi kes import.

Setakat ini, 839 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 27 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 11 meninggal dunia. – Bernama