Singapura catat 113 kes baharu

SINGAPURA, 25 JUN – Singa-pura melaporkan 113 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, dengan lima daripadanya adalah kes dalam komuniti.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 42,736 kes, sejak kes pertama yang dikesan pada 23 Jan. Menurut data ringkas yang dikeluarkan setakat tengah hari, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata satu daripada lima kes dalam komuniti, ialah warga Singapura dan empat yang lain adalah pemegang pas kerja.

Kementerian itu memaklumkan sebahagian besar kes adalah pekerja asing yang tinggal di asrama. Dalam data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,835 sebagai kes jangkitan dalam komuniti, 581 kes dari luar  dengan 40,207 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Setakat tengah hari semalam, 36,299 kes atau kira-kira 85 peratus daripada jumlah pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti. – Bernama