Singapura catat 451 kes baharu, Indonesia 1,241 kes

SINGAPURA/INDONESIA, 10 JUN – Singapura yang kini memasuki minggu kedua Fasa Pertama ‘Pembukaan Semula Secara Selamat’ ekonominya, melaporkan 451 kes baharu COVID-19 hari ini dengan hanya tujuh kes penularan dalam komuniti.

Data setakat tengah hari ini menunjukkan sebahagian besar kes baharu itu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, menjadikan jumlah keseluruhan 38,965 kes.

Tiga daripada kes penularan dalam komuniti itu melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu Indonesia hari ini melaporkan peningkatan dalam jumlah kes positif COVID-19 yang melepasi angka 34,000 dengan mencatatkan 1,959 kematian.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 1,241 tambahan kes positif baharu dan 36 lagi kematian.– Bernama