Singapura catat 570 kes baharu COVID-19

SINGAPURA, 20 MEI – Singapura, yang mencatatkan 10,365 pesakit pulih COVID-19, mengesahkan data awal terdapat 570 lagi kes positif hari ini menjadikan jumlahnya di republik ini 29,364 kes.

Data tengah hari itu menunjukkan hanya dua kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap manakala kebanyakan kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Menurut satu kenyataan, Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini menyatakan pihaknya masih mengkaji butiran kes dan perkembangan lanjut akan dikongsi kemudian.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasi 1,311 sebagai kes komuniti, 580 kes import dan 362 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama.

Sementara itu, kira-kira 92 peratus daripada jumlah kes atau 26,541 kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Sehingga kini, 22 orang mati akibat COVID-19 di sini. – Bernama