Singapura diharap pertimbang SOP buka sempadan dengan Malaysia

MUAR, 12 OKT – Kerajaan Singapura diharap mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, yang telah dikemukakan Kerajaan Negeri Johor dan dipersetujui Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata apabila kebenaran rentas negeri telah dibenarkan di Malaysia baru-baru ini, ia sedikit sebanyak mendatangkan kesan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

“(Mereka pastinya bertanya) mengapa mereka tidak boleh balik, tak boleh merentas negeri dan negara kita (untuk balik).

“Sama ada (kes) meningkat atau tidak di Singapura … itu tidak sepatutunya menghalang Singapura daripada duduk berbincang dengan Johor dan Kerajaan Malaysia (berhubung pembukaan sempadan),” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra bersama komuniti pesawah padi Sungai Balang, dekat sini hari ini.

Hasni berkata sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ada memaklumkan pihaknya telah berbincang dengan Singapura, dan republik itu ada meminta diberikan masa untuk mereka mengurangkan kes positif COVID-19 di negara itu terlebih dahulu, sebelum memulakan perbincangan berhubung pembukaan sempadan. – Bernama