Singapura haramkan penjualan gading gajah

SINGAPURA, 12 OGOS – Singapura hari ini mengatakan ia akan mengenakan pengharaman penuh ke atas jualan domestik bagi gading gajah dan produknya bermula tahun 2021 ketika kerajaan mengetatkan lagi kempennya membasmi perdagangan hidupan liar.

Pengumuman dibuat pada Hari Gajah Sedunia susulan rundingan dua tahun bersama kumpulan bukan kerajaan, penjual gading dan orang awam.

Pihak berkuasa di negara tersebut melakukan rampasan terbesar gading gajah seludup bulan lalu, mengimpaun rampasan hampir sembilan tan gading daripada 300 gajah Afrika yang dianggarkan bernilai AS$12.9 juta. Kargo haram itu ditemui dalam sebuah kontena dari Republik Demokratik Congo yang dihantar ke Vietnam melalui laluan kapal Singapura dan termasuk sejumlah besar sisik tenggiling.

Singapura sudah pun mengharamkan perdagangan antarabangsa dalam semua bentuk produk gading gajah semenjak 1990. Produk seumpamanya boleh dijual secara domestik jika peniaga boleh membuktikan ia diimport sebelum tahun tersebut atau memperolehnya sebelum pengecualian spesies gajah relevan dalam konvensyen antarabangsa melindungi spesies terancam. – AFP