SINGAPURA, 22 Jan – Apabila Singapura menghentikan rangkaian telefon bimbit 2G pada tahun ini, beribu-ribu orang mungkin terjejas tanpa satu isyarat – kelemahan digital yang ditinggalkan di belakang oleh persaingan teknologi yang tidak henti-henti.
Daripada pesara teknofobia kepada pekerja penghijrah yang kesempitan wang, kira-kira 140,000 orang di Singapura masih menggunakan telefon bimbit rangkaian generasi kedua (2G).
Pertama dikeluarkan pada tahun 1994, apabila permainan Ular merupakan kemuncak hiburan peranti – 2G telah lama diganti dari segi teknologi, dengan teknologi standard emas baru 5G menawarkan sambungan pantas untuk generasi yang biasa untuk menurun muat filem dan TV secara langsung ke telefon.
Singapura, yang mempunyai salah satu kadar penembusan telefon pintar tertinggi di dunia, merancang menghentikan 2G pada April demi memperuntukkan semula spektrum frekuensi radio dan memenuhi permintaan pengguna yang meningkat untuk data berkelajuan tinggi.
“Adalah masuk akal untuk pasaran seperti Singapura memandangkan operator memerlukan lebih banyak kapasiti untuk perkhidmatan data,” beritahu Charles Moon, penganalisis dengan firma penyelidikan teknologi maklumat Ovum, kepada AFP.

Jepun dan Korea Selatan dan syarikat telekom AS AT&T telahpun menutup rangkaian 2G mereka dan Australia dijangka menghentikan perkhidmatan pada September.
Singapura baru-baru ini mengharamkan penjualan telefon bimbit 2G dan kad SIM prabayar baru tidak boleh dipakai lagi dalam telefon bimbit 2G.
Namun di seluruh dunia, 2G tidak dijangka lenyap, walaupun jika jumlah telefon pintar diramalkan meningkat daripada empat bilion pada tahun lalu kepada kira-kira enam bilion pada 2020, menurut data IHS Markit.
Menjelang tahun 2021, 2G masih menyumbang kepada kira-kira 11 peratus daripada jumlah langganan telefon bimbit di seluruh dunia, kebanyakannya di Afrika dan Latin Amerika, kata penganalisis Moon.
“Kemampuan merupakan faktor utama untuk penggunaan yang berterusan,” kata beliau, menambah jangka hayat dan ketahanan bateri yang lebih lama dalam handset 2G juga penting.
Di Singapura, mereka yang paling terjejas oleh peralihan mungkin merupakan pekerja penghijrah, yang bergantung pada telefon 2G murah untuk berhubung dengan ahli keluarga di kampung. – AFP