Singapura kembali buka sekolah

SINGAPURA, 2 JUN – Pelajar kembali ke sekolah yang dibuka hari ini, selepas pihak berkuasa melonggarkan kawalan pergerakan akibat COVID-19, di negara itu.

Selain itu, beberapa jenis perniagaan turut mula dibenarkan beroperasi. Sebagai langkah pencegahan, pengurusan sekolah mewajibkan pelajar memakai penutup muka dan hidung serta menyediakan cecair pembasmi kuman.

Selain itu, pihak berkenaan turut memeriksa suhu badan pelajar. Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan bahawa pembukaan semula sekolah tidak menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan. Dalam pada itu, seorang ibu, Cheryl Chan, berkata, anaknya amat teruja untuk ke sekolah.

“Dia bangun awal dan beritahu; ‘Ibu, sudah tiba masa untuk saya berus gigi dan pergi ke sekolah’,” katanya.

Sementara itu, firma pembuatan, perkhidmatan penyelenggaraan penyaman udara dan kedai haiwan peliharaan adalah antara sektor yang dibenarkan beroperasi. Satu pertiga daripada tenaga kerja Singapura dijangka kembali bekerja mulai pagi hari ini.

Bagaimanapun, bakinya terutama pekerja pejabat masih digalakkan bekerja dari rumah. Mereka juga diminta untuk keluar rumah hanya ada keperluan mendesak untuk berbuat demikian. – AFP

Beberapa orang guru ketika bersedia membuat pemeriksaan suhu salah seorang pelajar pada hari pertama sekolah dibuka selepas penutupannya akibat wabak koronavirus di Singapura, kelmarin. – AFP